Elakkan dari jadi mangsa miss call Wangiri

Share Button

Jika anda menerima panggilan antarabangsa, jangan jawab melainkan anda kenal nombornya dan tahu pemanggilnya. Apatah lagi jangan gatal untuk cuba menghubunginya semula. Pernahkah anda dengar tentang penipuan Wangiri?

Wangiri sebenarnya adalah perkataan jepun, yang bermaksud satu nada dering dan putus. Dan penipuan sebegini dikatakan bermula dari negara matahari terbit ini.

Penipuan Wangiri adalah satu cara di mana pemanggil akan membuat panggilan, tetapi dalam satu nada dering sahaja terus diputuskan panggilan. Ini akan meninggalkan notis Missed Call di telefon penerima. Kebiasannya, panggilan Wangiri ini diuruskan oleh sistem komputer, yang akan membuat beribu panggilan ke nombor berlainan secara rawak.

Sifat ingin tahu manusia menimbulkan rasa ingin mencuba. Nampak Missed Call, maka cuba dipanggil semula. Masalah pertama, tahu tak panggilan ke luar negara ni mahal? Masalah kedua, panggilan Wangiri memancing pengguna untuk mendail semula nombor missed call tadi, yang sebenarnya adalah nombor panggilan premium berkadar tinggi.

Panggilan berkadar premium akan mengenakan kadar panggilan yang tinggi dan mahal kepada pemanggil. Ia menjana pendapatan dari kadar yang mahal ini, yang akan diterima oleh penipu Wangiri tadi. Ia ibarat, panggilan 1600 di Malaysia. Bezanya, ia datang dari luar negara. Antara nombor panggilan yang telah dikenalpasti membuat penipuan ini, ada disenaraikan di sini.

Sebenarnya, untuk mengatasi perkara ini sangat mudah. Jangan buat panggilan luar negara. Tingkatkan ilmu pengetahuan, kerana tidak sukar untuk mengenalinya. Kod antarabangsa Malaysia ialah +60. Jadi jika ada panggilan yang bukan bermula dari +60, maka ia adalah nombor luar negara, dan jangan buat panggilan padanya. Melainkan kita benar-benar tahu siapa yang ingin kita panggil itu.

Terima kasih kepada Digi yang berkongsi maklumat tentang penipuan Wangiri ini. Ingat, dunia tanpa sempadan sekarang mendedahkan lebih banyak risiko penipuan. Sentiasa ambil tahu keadaan semasa dan tingkatkan ilmu tentang penipuan. Berkongsi ilmu bermanfaat seperti ini, jangan pula sebarkan gosip dan beritau yang tidak diketahui kesahihannya.

Semak dulu baru sebar. Jadilah pengguna yang bijak.

[SUMBER: Blog Digi]

Apa komen anda?