AWAS hidupkan semula Kejara dan AES

Share Button

Mulai 15 April 2017, Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) telah mula menguatkuasakan Sistem Kesedaran Automatik (AWAS), yang memberikan mata demerit kepada pesalah lalu lintas. Pelaksanaan AWAS telah mengaktifkan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang ditangguhkan sebelum ini.

Sebanyak 23 jenis kesalahan lalu lintas disenaraikan di dalam AWAS, tetapi terdapat dua kesalahan serius yang kerap dilakukan, dikuatkuasakan bermula 15 April lepas. Dua kesalahan tersebut adalah melanggar lampu merah dan memandu melebihi had laju.

Lain-lain kesalahan yang akan menyumbang ke mata demerit adalah seperti membawa lebih muatan, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal dan mengabaikan arahan polis atau JPJ.

Mata demerit diberikan berbeza mengikut dua golongan, pemandu kenderaan selain barangan dan bas, serta pemandu kenderaan barangan dan bas. Kesalahan dan mata demerit yang diberikan adalah seperti berikut:

Untuk pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang dimiliki kebanyakan pemandu biasa, amaran pertama diberikan untuk 20 mata pertama, dan lesen digantung selama 6 ke 8 bulan untuk 20 mata kedua. Jika lesen digantung sebanyak 3 kali dalam tempoh 5 tahun, lesen CDL tersebut akan dibatalkan.

Bagi pemegang Lesen Memandu Percubaan, dengan 20 mata sahaja akan menyebabkan lesen mereka dibatalkan.

Jika terus memandu dengan lesen yang digantung atau dibatalkan, denda tidak kurang RM3,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun boleh dikenakan.

Mata demerit ini boleh dikurangkan sebanyak 50%, jika pemandu tidak mencapai 20 mata demerit dan tidak melakukan sebarang kesalahan dalam masa setahun.

Orang ramai boleh menyemak mata atau bertanyakan tentang sistem demerit ini dengan menghantar emel ke kejara@jpj.gov.my.

Mengumpul mata demerit ini bukanlah satu perkara yang seronok, kerana ia bakal membuatkan anda kehilangan lesen memandu, dan tidak lagi boleh memandu. Jadi, hentikan berbuat kesalahan semasa memandu, dan fokus kepada pemanduan. Ia juga menjadikan jalanraya lebih selamat untuk semua.

[SUMBER: JPJ]

Apa komen anda?