UEM dan Microsoft berpakat terajui inisiatif digital awan

Share Button

UEM Group, syarikat infrastruktur dan perkhidmatan berasaskan kejuruteraan terkemuka di Malaysia, hari ini mengumumkan pakatannya dengan Microsoft Malaysia untuk menerajui inisiatif digital berasaskan awan.

Pakatan ini dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang mengikat selama tiga tahun. Dalam MOu ini, Microsoft akan menyediakan Penasihat Digital untuk menyokong UEM Group dan anak-anak syarikatnya, dalam melaksanakan revolusi digital ini seperti Internet Barang (IoT), Analisis Data Ramalan, Pembelajaran Mesin dan Realiti Luasan (Augmented Reality).

Dato’ Izzaddin Idris, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group berkata. “Pakatan ini melengkapi program Penyelesaian Awan Perancangan Sumber Perusahaan bersepadu UEM Group selama 3 tahun bernilai RM150 juta. Memandangkan bangunan, lebuh raya, kilang dan seluruh bandar raya kini ‘lebih pintar’, penyelesaian digital amat diperlukan. Pengumpulan data bagi analisis dan kaedah pembelajaran mesin berasaskan awan, memberikan kami maklumat operasi untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan memodenkan lagi penyelesaian kami.”

Salah satu anak syarikat pertama UEM Group yang mengguna pakai teknologi ini ialah UEM Edgenta, entiti Penyelesaian Aset Menyeluruh. Syarikat ini telah membangunkan Penyelesaian Pengurusan Kemudahan Pintar berasaskan Azure IoT Hub dan Pembelajaran Mesin, yang membolehkannya mengumpulkan maklumat terperinci dalam masa sebenar dan mencipta nilai lebih tinggi untuk pelanggannya.

Azmir Merican, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta menjelaskan, “Di UEM Edgenta, kami mencabar kelaziman dan mengubah cara pengurusan kemudahan dilaksanakan. Kami berjaya ‘mengajar’ bangunan untuk ‘berfikir’ dan telah memulakan fasa IoT yang seterusnya di mana aset akan menjadi lebih pintar, menjimatkan kos dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat.”

K. Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia (kiri) & Dato’ Izzaddin Idris (kanan) menandatangani MoU disaksikan Dato’ Yasmin Mahmood, CEO MDEC

Apa komen anda?