Tiada lagi bayaran tunai di tol PLUS menjelang April

Share Button

Pemilik lebuhraya terbesar Malaysia, PLUS, baru-baru ini mengumumkan akan melaksanakan sistem pembayaran elektronik sepenuhnya di semua lebuh raya kendalian PLUS, dari Bukit Kayu Hitam di utara hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di selatan. Ia akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 26 April 2017.

Lebuhraya kendalian PLUS adalah Lebuhraya Utara-Selatan di antara Juru dan Skudai, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua.

Bermula dari 26 April kelak, tiada lagi transaksi tunai akan dikendalikan dan pengguna lebuhraya PLUS perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG.

Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, “Transaksi tol secara elektronik adalah jauh lebih pantas dan selesa berbanding pembayaran tol secara tunai, di mana lorong SmartTAG dan Touch ‘n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol satu jam. Manakala Lorong Tunai Keluar pula hanya mampu mengendalikan kira-kira 180 transaksi dalam tempoh yang sama.”

“Sebelum pelaksanaan peringkat akhir yang melibatkan laluan di antara Plaza Tol Juru hingga Plaza Tol Skudai (71 plaza tol) ini, inisiatif tersebut telah terlebih dahulu berjaya dilaksanakan secara berperingkat sejak 2008. Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai, khususnya yang melalui 71 plaza tol di antara Juru dan Skudai supaya mendapatkan kad elektronik masing-masing,” tambah Azman.

Kad PLUSMiles boleh diperolehi di semua pusat khidmat pelanggan PLUS di sepanjang lebuh raya PLUS. Ia beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. Pengguna kad PLUSMiles akan menerima rebat tol 5%, apabila menggunakan kad tersebut sebanyak RM100 setiap bulan. Rebat ini boleh ditebus di semua Pusat Khidmat Pelanggan PLUS.

Pembelian kad Touch ‘n Go boleh dilakukan di Touch ‘n Go Hub & Spot, serta beberapa lokasi terpilih, yang boleh dirujuk di sini. Tambah nilai pula boleh dibuat bukan sahaja di Plaza Tol, malah di mesin ATM, kedai 24-jam & serbaneka, pusat beli belah, stesen minyak dan lain-lain.

Kepada anda yang masih tidak memiliki kad Touch ‘n Go, ini adalah masanya anda perlu mendapatkannya. Selain penggunaan wajib di Plaza Tol, kad Touch ‘n Go juga boleh digunakan di stesen LRT & MRT, dan menerima diskaun khas. Kad ini juga boleh digunakan untuk pembayaran letak kereta, serta membeli-belah di beberapa kedai yang mengambil bahagian.

Maklumat lanjut tentang kad PLUSMiles boleh didapati di laman webnya. Manakala lebih banyak info tentang Touch ‘n Go boleh dirujuk di sini.

[SUMBER: PLUS]

Trackbacks

  1. […] sudah biasa dengan pembayaran tanpa tunai di plaza tol, kerana PLUS telah menguatkuasakannya sejak April lepas. Tetapi bermula 14 Ogos 2017, semua plaza tol di Malaysia akan melaksanakan Kutipan Tol Elektronik […]

  2. […] telah melaksanakan sistem pembayaran elektronik sepenuhnya di semua lebuh raya kendaliannya sejak 26 April 2017. Tiada lagi transaksi tunai dikendalikan di […]

  3. […] lupa, semua lebuhraya PLUS tidak lagi menerima tunai dan berubah ke bayaran elektronik sepenuhnya bermula 26 April 2017. Dapatkan kad Touch ‘n Go untuk membayar tol di lebuhraya PLUS selepas […]

Apa komen anda?