Switch umum iPhone 6 edisi terhad dijual di Malaysia

Share Button

Nampaknya telahan kami menjadi nyata. Penurunan harga iPhone SE yang diumum oleh Switch semalam, sememangnya untuk memberi ruang kepada ketibaan iPhone 6 edisi khas. Hari ini, Switch mengumumkan pula ketibaan iPhone 6 32GB ke Malaysia.

Switch mengumumkan perkara ini menerusi twitter @SwitchTM. Menurutnya, iPhone 6 32GB ini adalah edisi terhad, berwarna emas dan kini boleh mula dibeli menerusi stor dalam talian Switch.

Pertama kali diumumkan di Taiwan dan kemudiannya di India, iPhone 6 32GB merupakan model terbaru bagi keluarga iPhone 6. Ini kerana iPhone 6 asal yang dilancarkan pada tahun 2014, hanya memiliki storan 16GB, 64GB dan 128GB sahaja.

Walaupun ia storan yang baru, iPhone 6 32GB ini masih mengekalkan perkakas yang sama. Ia memiliki skrin retina 4.7-inci, dikuasakan cip A8 64-bit. Kamera belakangya 8MP manakala kamera depan hanya 1.2MP. iPhone 6 memiliki pengimbas capjari Touch ID, dan siap datang dengan sistem operasi iOS 10 terbaru.

Secara kasar, prestasi iPhone 6 adalah lebih rendah dari iphone SE. Ini kerana iPhone SE dilengkapi cip A9 serta kamera belakang 12MP yang lebih berkuasa. Switch semalam mengumumkan penurunan harga iPhone SE 16GB, menjadi hanya RM1,699 sahaja. Manakala harga iPhone SE 64GB masih kekal RM2,199.

Kini, peminat iPhone memiliki lebih banyak pilihan untuk mendapatkan iPhone yang lebih murah. Samada iPhone SE 16GB bersaiz kecil RM1,699 dengan 4 pilihan warna, atau iPhone 6 32GB dengan skrin dan storan lebih besar tetapi hanya warna emas, berharga RM1,999.

[SUMBER: Switch]

Apa komen anda?