Stor Flagship terbesar Huawei dibuka di Malaysia

Share Button

Stor flagship terbesar Huawei di Asia Tenggara, kini terdapat di Malaysia. Pelbagai produk Huawei dan servis khidmat pelanggan, boleh didapati di kedai yang baru dibuka ini. Ia terletak di pusat membeli-belah Pavilion, di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Peminat Huawei boleh melawat Stor Flagship ini, yang terletak di tingkat 5 Pavilion. Dengan keluasan 4,476 kaki persegi, ia mempamerkan seluruh produk Huawei yang ditawarkan di Malaysia, termasuk Huawei P10 dan P10 Lite yang baru dibuka tempahan.

Pengunjung boleh mendapatkan khidmat nasihat tentang produk, mencuba sendiri produk sebelum membeli, serta menghantar produk Huawei untuk dibaiki, semuanya di bawah satu bumbung. Pembukaan Stor Flagship ini merupakan tambahan kepada 200 Kedai Jenama Huawei sedia ada di samping 11 Pusat Servis Huawei di Malaysia.

Majlis pembukaan stor ini dihiasi dengan acara pemotongan riben serta tarian singa. Di samping itu, satu acara bidaan amal turut diadakan, di mana satu unit Mate 9 Porsche Design telah dibida pada harga RM7,200. Semua wang bidaan ini didermakan kepada Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Malaysia.

Hari pembukaan stor ini juga menyediakan promosi istimewa kepada pembeli. Bagi 100 pelanggan pertama yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,000, mereka turut membawa pulang pembesar suara SWAN serta cenderahati eksklusif Huawei.

Satu servis menarik yang terdapat di stor ini, adalah cetakan lazer khas buat produk Huawei.

Kepada pemilik dan peminat Huawei, boleh lawati Stor Flagship Huawei yang terletak di Lot No 5.100.000, Tingkat 5, Paviliton Elite, Kuala Lumpur. Senarai produk lengkap di samping pelbagai servis yang disediakan, pasti memberikan pengalaman manis sepanjang berada di sana.

Apa komen anda?