Singapura juara hackathon pertama AirAsia Airvolution

Share Button

Buat pertama kalinya, AirAsia mengadakan pertandingan Hackathon di pejabatnya, AirAsia RedQ di KLIA 2, Sepang. Pertandingan ini yang disertai oleh peserta dari seluruh dunia, berjaya dimenangi oleh pasukan Aviato yang berasal dari Singapura.

Gabungan lima anak muda yang berasal dari Singapura ini, membentangkan penyelesaian kepada salah satu dari tiga persoalan yang disediakan AirAsia: Bagaimana mengkategorikan peminat AirAsia berdasarkan kegemaran menerusi media sosial mereka, untuk meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan.

Aviato mempersembahkan cadangan yang menggabungkan maklumat pengguna masa nyata dari Instagram, seperti gambar dan Likes, untuk memberikan pengguna tawaran yang lebih sesuai seperti destinasi AirAsia dan makanan kegemaran pengguna.

Dua lagi persoalan yang disediakan adalah, Bagaimana hendak mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dari check-in sehingga berlepas, dan juga, Bagaimana hendak menawarkan penerbangan dan pelancongan terbaik pada harga terendah bersama jadual itinerari kepada tetamu AirAsia.

Pasukan Aviato dianggotai oleh Choo Yan Sheng, John Goh Choo Ern, Durwin Ho Hsu Tian, Albert Puah Beng Hong and Kevin Kwa Leung Boon. Mereka berlima membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM25,000, 100,000 mata AirAsia BIG, dan 5 tiket penerbangan pergi dan balik ke mana-mana destinasi AirAsia.

Sebanyak 20 pasukan termasuk Aviato menyertai pertandingan AirAsia Airvolution 2017. Peserta ini datang mewakili Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, India, Sri Lanka, Hong Kong dan Australia.

Semua pasukan diberi masa selama 18.5 jam, dari petang Sabtu 18 Mac sehingga Ahad 19 Mac 2017 untuk menyiapkan pembentangan mereka. Pemenang dinilai berdasarkan impak, kreativiti, rekaan dan perlaksanaan semasa demo persembahan selama 8-minit. Hakim pertandingan terdiri daripada:

  • Ketua Pegawai Data & Digital AirAsia, Nikunj Shanti
  • Ketua Pegawai Penerangan AirAsia, Declan Hogan
  • Ketua Pembangunan AirAsia, Su Yu Min
  • Ketua Pengurusan Produk AirAsia, Robin Low
  • Pengarah Urusan C-ASEAN Thailand, Dr Karndee Leopairote
  • Ketua Strategi & Servis Baru LINE Thailand, Kawin Tangudtaisak

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, acara hackathon AirAsia Airvolution bukanlah acara tahunan. Tetapi AirAsia akan melakukannya lebih kerap jika ia benar-benar memberi impak.

AirAsia bermula sebagai syarikat digital, bermula dari internet dan aktif di media sosial. Sasaran beliau bukanlah untuk mengurangkan kos, tetapi mencipta lebih keuntungan dan memudahkan tugasan. Tiada lagi tunai tetapi semuanya menggunakan pembayaran digital, dengan pantas semudah dua klik untuk membeli tiket penerbangan, tambah beliau.

Acara Hackathon AirAsia Airvolution 2017 ditaja oleh AirAsia BIG, AirAsia Santan, BIG Duty Free, Tune Talk, ROKKI, T&Co, Microsoft Azure, Google Cloud, Amazon Web Services, Salesforce, Lego dan Red Bull. Ia juga disokong oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).

Apa komen anda?