Projek kabel dasar laut Malaysia Kemboja Thailand (MCT) siap

Share Button

Telekom Malaysia selaku peneraju perkhidmatan komunikasi di Malaysia, baru-baru ini mengumumkan selesainya satu lagi projek kabel dasar laut. Sistem kabel dasar laut yang menghubungkan tiga negara Malaysia-Cambodia-Thailand (MCT), menandakan bermulanya era sambungan internet baharu yang lebih baik dan selamat.

Telekom Malaysia sebagai wakil Malaysia, bekerjasama dengan Telcotech dari Kemboja dan Symphony Communication dari Thailand, dalam projek ini. Sistem kabel MCT akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan perniagaan di rantau ASEAN khususnya industri telekomunikasi, memandangkan telekomunikasi merupakan elemen penting kepada perniagaan masa kini.

Projek kabel dasar laut MCT dimeterai oleh Telekom Malaysia bersama Telcotech dan Symphony Communication pada Mei 2015. Kabel sepanjang 1,300 kilometer ini merupakan sistem kabel dasar laut Kemboja yang pertama. Ia akan meletakkan Kemboja sebagai gerbang laluan ke Asia, yang membolehkan Kemboja menghimpunkan trafik Asia dan meluaskan sambungan ke rantau ASEAN serta ke seluruh dunia melalui Malaysia.

Telekom Malaysia (TM) mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan dan pelaburan kabel dasar laut di seluruh dunia. TM memiliki dan memajak lebih daripada 20 sistem kabel dasar laut yang menjangkau lebih daripada 320,000 batu laluan gentian (fibre-route) di seluruh dunia, TM menyediakan sambungan melalui beberapa laluan merentasi rantau Asia Pasifik dan Amerika Utara. TM juga mengendalikan 24 Points-of-Presence (PoP) antarabangsa strategik yang terletak di 18 buah negara di seluruh dunia.

Apa komen anda?