Malaysia negara terawal terima Xperia XZs dan Xperia XA1?

Share Button

Pada pameran MWC 2017 di Barcelona awal bulan ini, Sony melancarkan beberapa telefon pintar baru iaitu Xperia XZ Premium, XZs, XA1 dan XA1 Ultra. Tarikh jualan serta harga peranti tidak diumumkan pada majlis tersebut. Bagaimanapun, Malaysia mungkin menjadi negara terawal menjual telefon pintar terbaru Sony ini.

Maklumat ini dilaporkan oleh SoyaCincau yang menerima tips berkenaan tarikh dan harga jualannya. Tetapi, hanya dua peranti sahaja akan tiba di Malaysia terlebih dahulu, iaitu Xperia XZs dan Xperia XA1.

Menurut info yang diberikan, Sony Malaysia akan menjual Xperia XZs pada harga RM2,899, manakala Xperia XA1 pula RM1,199. Pra-tempahan akan dibuka dahulu, dari 29 Mac sehingga 9 April 2017. Ini bermakna, jualan akan dibuat selepas tarikh tersebut, dijangka sekitar pertengahan April 2017.

Untuk tempahan awal ini, Sony turut akan menyediakan hadiah percuma berupa set kepala Bluetooth, pengecas pantas, casing, pelindung skrin dan juga dok pengecas USB-C.

Telefon pintar Sony Xperia XZs adalah naiktaraf kepada Xperia XZ yang telah dijual di Malaysia berharga RM,2699. Ia memiliki skrin 5.2-inci HD Penuh, pemproses SnapDragon 820, RAM lebih besar 4GB dan storan dalaman diganda menjadi 64GB.

Perkara baru yang terdapat pada Xperia XZs adalah modul kameranya, sensor IMX400 19MP yang digelar MotionEye. Ia berkemampuan merakam video gerak perlahan 960 bingkai sesaat (fps) pada resolusi 720p. Tiga fokus hibrid juga terbina padanya. Kamera hadapan pula 13MP F2.0.

Xperia XZs kekal kalis air dan debu IP68, dan dilengkapi pengimbas capjari di sisi. Tiga warna akan ditawarkan iaitu Hitam, Biru dan Perak.

Xperia XA1 pula adalah peranti kelas pertengahan. Skrinnya sebesar 5.0-inci HD 720p sahaja, dengan rekaan lengkung serta hampir tiada bezel. Kuasanya disediakan oleh pemproses Mediatek Helio P20, 3GB RAM dan 32GB storan dalaman.

Bahagian kamera pula diuruskan sensor Exmor RS 23MP di belakang dan 8MP di depan. Empat warna akan ditawarkan iaitu Hitam, Putih, Merah Jambu dan Emas.

Dua lagi peranti yang dilancarkan di MWC 2017 iaitu Xperia XZ Premium dan XA1 Ultra dengan skrin lebih besar, masih tiada khabar berita lagi. Maklumat lanjut tentang kesemua produk baru ini boleh dirujuk di laman produk Xperia XZ Premium, Xperia XZs, Xperia XA1 dan Xperia XA1 Ultra.

Adakah anda berminat dengan dua telefon baru Sony Xperia ini? Bagi kami, teknologi kamera MotionEye pada Xperia XZs sangat menarik. Lihat contoh rakaman yang kami buat ketia MWC 2017 di bawah ini.

 

Saksikan kehebatan sensor Sony Motion Eye yang merakam video gerak perlahan 960fps!

Memang lancar & lembut sekali 😃

#MWC17 #MotionEye #Sony #960fps #Xperia #XZs

Posted by TheSkop on Monday, February 27, 2017

[SUMBER: SoyaCincau]

Trackbacks

  1. […] yang dijangkakan, Sony Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan telefon pintar terbaru mereka di Malaysia. Xperia XZs […]

Apa komen anda?