Infinix Sertai Kancah Peranti Malaysia Dengan 3 Telefon Baru

Share Button

Pasaran Malaysia hari ini menerima satu lagi pemain baru dalam arena telefon pintar apabila Infinix melancarkan 3 telefon. Infinix Hot 4 Pro, Zero 4, dan Zero 4 Plus hadir dengan pelbagai spesifikasi dan tanda harga yang dilihat akan mewarnai segmen permulaan dan pertengahan kita.

Infinix HOT 4 Pro

Telefon yang paling kerdil dalam kalangan tiga bersaudara itu adalah Infinix Hot 4 Pro. Walaupun menerima tanda harga RM 599, ia gagah daripada segi audio dengan kehadiran Dirac Stereo Widening untuk menghasilkan bunyi yang padu daripada speaker yang kecil.

Kemudian, disebabkan ia miliki speaker kecil yang berkualiti tinggi, panggilan yang gunakan loudspeaker akan lebih bermutu hatta dalam persekitaran hingar bingar. Baterinya pula besar, 5000 mAh, dan dicas menggunakan pengecas 10 watt.

Infinix HOT 4 Pro

Baki dua telefon yang dilancarkan mereka berada dalam siri Zero. Infinix Zero 4 Plus adalah model yang paling berkuasa berbanding Zero 4 dan Hot 4 Pro. Ia menggunakan cip Helio X20 10 teras dan memiliki RAM seluas 4GB. Storan dalaman 64GB yang dimilikinya boleh diperluas menggunakan slot mikro-SD khas.

Infinix Zero 4 (kiri) dan Infinix Zero 4 Plus (Kanan)

Bahagian optikal pula tak kurang hebat dengan kamera belakang 21MP ber-OIS manakala kamera depan 13MP. Bateri 4,000 mAh menguasakan telefon ini.

Infinix Zero 4, mempunyai bateri sedikit kecil iaitu 3,200 mAh. RAM dan storan juga lebih rendah berbanding Zero 4 Pro iaitu masing-masing 32GB dan 3GB. Sungguhpun begitu, kamera 16MP telefon ini masih memiliki OIS dan kamera depan pula mempunyai sensor 8MP.

Infinix Zero 4 (kiri) dan Infinix Zero 4 Plus (Kanan)

Ketiga-tiga telefon menjalankan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow dengan perancangan naik taraf ke versi 7.0 Nougat seawal Julai ini.

Infinix Zero 4 dijual pada harga RM999 dan Infinix HOT 4 Pro pula RM599. Kedua-duanya akan mula dijual bermula minggu depan melalui pengedar sah. Infinix Zero 4 Plus masih tak miliki harga tetapi akan diumumkan pada bulan depan.

Lazada turut akan menjadi saluran jualan produk Infinix. Anda boleh membeli produk-produk Infinix di kedai digital itu selewat-lewatnya Jun ini. Pengeluar telefon itu juga ada menawarkan jaminan buat pembeli Zero 4 dan Zero 4 Plus.

Tertakluk pada terma dan syarat, pembeli akan menerima jaminan enam bulan pada panel paparan dan setahun untuk peranti keseluruhan serta penukaran 1-dengan-1 untuk set yang rosak dalam tempoh 15 hari daripada tarikh pembelian.

Apa komen anda?