iflix melebarkan sayap ke Myanmar

Share Button

iflix kini telah bertapak di 10 negara di Asia, dengan Myanmar menjadi negara terbaru di dalam senarai iflix. Lahir di Malaysia, iflix merupakan penyedia perkhidmatan langganan Video On Demand (SVoD) paling pantas berkembang di Asia Tenggara.

Selain Malaysia dan Myanmar, perkhidmatan iflix boleh didapati di Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Vietnam, Sri Lanka, Maldives dan Pakistan. iflix menyediakan perkhidmatan percubaan percuma sepenuhnya selama 30 hari, untuk pengguna baru.

iflix di Myanmar menyediakan perkhidmatan yang sama seperti di negara lain. Ia mempunyai akses penuh ke semua kandungan pustaka iflix, yang terdiri dari rancangan eksklusif, drama yang memenangi anugerah, filem pecah panggung serta siri tempatan dan serantau, termasuk rancangan kanak-kanak.

Satu akaun iflix boleh menyokong sehingga 5 peranti pada masa yang sama, di antara telefon pintar, tablet, laptop, komputer, TV dan pelbagai peranti pintar lain. Kemudian, sebanyak dua peranti boleh digunakan untuk menonton kandungan iflix serentak.

Walaupun iflix merupakan sejenis perkhidmatan TV Internet, ia boleh ditonton di luar internet dengan memuat turun kandungan terlebih dahulu.

iflix di Myanmar boleh dilanggan pada harga MMK3,000 (~RM9.70) sebulan. Langganan setahun pula akan menerima diskaun dua bulan, iaitu MMK30,000 (~RM97) sahaja. Bagi semua akaun aktif iflix, pengguna boleh menontonnya di kesemua 10 negara yang mempunyai perkhidmatan iflix ini.

Jika anda masih belum melanggan iflix, anda boleh mencubanya secara percuma tanpa sebarang ikatan selama 30 hari. Hanya pergi ke www.iflix.com untuk mendaftar dan mula menonton tanpa henti. Langganan bulanan iflix di Malaysia hanyalah RM10, manakala langganan tahunan mendapat diskaun 20%, menjadi RM96 sahaja.

Apa komen anda?