Google pamer Doodle khas P. Ramlee sempena hari lahirnya

Share Button

Sudah 44 tahun Tan Sri P Ramlee meninggalkan kita ketika umur beliau 44 tahun, tetapi hasil seninya sentiasa segar dalam hati & minda rakyat Malaysia. Demi memberi penghormatan kepada hari lahir beliau hari ini, Google Malaysia memaparkan Doodle khas P. Ramlee, di laman utama carian mereka.

Google Doodle hari ini menonjolkan kepelbagaian seni legenda Malaysia tersebut yang melangkaui dunia hiburan dan memenangi hati rakyat. Ia memaparkan beliau dalam imej yang paling diingati orang ramai – bermisai nipis, tampil segak dengan sut petak, dengan kepalanya sedikit lentok ke tepi.

Google menggabungkan 2 doodle menjadi 1

Tan Sri P. Ramlee boleh dikatakan tokoh seni terulung di Malaysia. Beliau bukan sahaja berlakon dan menyanyi, malah mengarah filem, menulis lirik serta menggubah lagu. Beliau telah menyumbang lebih dari 60 karya filem dan sekitar 250 buah lagu.

Filem arahan beliau terutama sekali, bukan sahaja penuh dengan adegan lucu, malah sarat dengan nasihat dan pedoman buat penonton. Lagu-lagu beliau juga sentiasa segar meniti bibir-bibir rakyat Malaysia.

Kami di TheSkop mendoakan agar beliau sentiasa berada di rahmat Ilahi, serta segala hasil dan usaha kerja beliau terus diingati dan dihayati bukan sahaja di Malaysia, malah ke seluruh dunia.

Apa komen anda?