Google dalam WhatsApp tanpa perlu buka pelayar

Share Button

Anda cuma ada internet asas yang sepantas 64kbps, atau hanya ada liputan EDGE sahaja di waktu tersebut, tetapi nak guna Google untuk mencari maklumat? Apa kata cuba gunakan Duta, sejenis bot yang beroperasi sepenuhnya dari dalam WhatsApp.

Duta adalah bot yang boleh menghantar pelbagai jenis berita terus kepada anda. Malah, ia juga boleh membuat beberapa carian mudah ibarat Google seperti wiki, masa, cuaca, tukaran matawang asing, dan sebagainya.

Untuk mula menggunakan Duta, mulakan dengan menyimpan salah satu dari nombor Duta. Contoh yang ada pada kami adalah nombor +91-73388-76007. Kemudian, cipta satu WhatsApp Group khas dan masukkan Duta ke dalam Group tersebut. Anda akan disapa dengan notis pertama Duta selepas itu.

Dari situ, anda boleh memilih jenis berita yang ingin diterima setiap hari. Antara berita yang boleh dilanggan adalah berita sukan seperti bola sepak, tenis dan Formula 1, serta berita hiburan dan teknologi. Untuk lebih maklumat tentang servis Duta, hanya taip *info di dalam Group.

Lebih menarik, Duta sangat interaktif kerana ia boleh membuat beberapa carian seperti Google. Hanya taip ‘search’ diikuti perkara yang ingin dicari, kemudian Duta akan memberikan hasil carian.

Lain-lain carian menggunakan Duta, boleh dilakukan menerusi kata kunci seperti berikut:

  • Wikipedia (contoh: wiki TheSkop)
  • Masa (contoh: timeat Kuala Lumpur)
  • Cuaca (contoh: weather Putrajaya)
  • Kadar Tukaran Wang (contoh: finance USD to MYR)
  • Kamus (contoh: dict extravaganza)
  • Kalkulator (contoh: calc 45+69)
  • Terjemahan (contoh: translate spanish hello)

Penggunaan Duta sangat mudah, apatah lagi dengan WhatsApp, ia tidak memerlukan sambungan pantas dan data yang banyak. Tetapi, ada yang khuatir dengan maklumat privasi yang mungkin terdedah kepada bot Duta ini. Dari laman web Duta, tiada maklumat berkenaan perlindungan maklumat dan privasi. Jadi, gunakan atas risiko sendiri.

Di laman web Duta.in, ia menyatakan Duta diasaskan oleh Anand Ranganathan dan Vikram Vijayaraghavan, dengan penasihat veteran, Rakesh Mathur. Duta mendapat dana dari Rocketship VC dan North Base Media, serta memiliki pejabat di Chennai, India dan Lembah Silikon, Amerika Syarikat.

Adakah Duta dapat membantu anda? Mahukah anda menggunakannya?

Terima kasih Nazril atas makluman  😎

Apa komen anda?