8 Ciri Baru dalam S8, S8+ yang anda perlu tahu

Share Button

Selepas Note 7, Samsung memerlukan lonjakan baru untuk menutup mulut orang ramai yang masih bersembang mengenai isu letupan, sehingga menenggelamkan keupayaan teknologi syarikat tersebut yang dibina sebelum Ogos 2016 (ketika pelancaran Note 7).

Sebab itu, telefon flagship baru Samsung perlu hebat dan mempunyai inovasi yang mampu menenggelamkan isu Note 7 jauh ke dalam.

Jadi, pelancaran Samsung Galaxy S8 dan S8+ hari ini mampu memberikan kejutan positif apabila ia mempunyai ciri baru yang melegakan pengguna dan berupaya memberi senyuman, sekiranya anda sedang berkira-kira mahu mendapatkan telefon pintar baru.

Sam yang berada di New York sempena pelancaran Galaxy S8 dan S8+ melihat sendiri telefon ini dan merumuskannya dengan lapan point penting. Antaranya:

1. Paparan 18.5:9 iaitu disebut sebagai Infinity Display yang bermakna kandungan dipaparkan lebih 36% berbanding paparan konvensional 16:9 sebelum ini. Sudah pasti, ia datang dengan paparan jenis Quad HD+ 2960 x 1440.

S8 mempunyai skrin 5.8 inci dengan 570ppi manakala S8+ pula 6.2 inci bersama 529ppi.

2. Kelajuan pemproses octa core (2.3GHz Quad + 1.7GHz Quad), 64-bit dan 10nm untuk pasaran Malaysia sudah cukup mengujakan yang membolehkan beberapa aplikasi sosial atau game dibuka atau dimainkan tanpa masalah ‘lag’.

Sam dimaklumkan, kedua-dua model ini ialah telefon dengan cip 10nm pertama di dunia.

3. Pemproses tersebut dibantu dengan RAM 4GB jenis LPDDR4. Selain itu, ia datang dengan storan 64GB.

4. Galaxy S8 dan S8+ datang dengan kamera Dual Pixel 12MP OIS (f1.7) dan kamera depan 8MP AF (f1.7). Pemproses imej baru juga diperkenalkan dengan harapan melajukan proses merakam gambar dan mengekalkan keupayaan Samsung merakam foto yang cantik.

5. Samsung Galaxy S8 mempunyai bateri berkapasiti 3000mAh dan S8+ datang bersama bateri 3500mAh.

6. Terdapat lima warna yang diperkenalkan iaitu Midnight Black (Hitam), Orchid Gray (Kelabu), Coral Blue (Biru), Arctic Silver (Perak) dan Maple Gold (Emas).

7. Galaxy S8 bersaiz 148.9 x 68.1 x 8.0 mm dengan berat 152g, sementara Galaxy S8+ pula bersaiz 159.5 x 73.4 x 8.1 mm bersama berat 173g. Ia menyaksikan sedikit penambahan dari aspek kenipisan berbanding S7 dan S7 edge sebelum ini.

8. Sengaja Sam menulis ciri baru iaitu Bixby sebagai point terakhir. Inovasi unik tersebut lebih kepada artificial intelligence (AI) di mana cara baru berkomunikasi dengan telefon anda. Terdapat butang Bixby (terletak di sebelah kiri telefon) yang membolehkan anda mengakses dan navigasi pelbagai perkhidmatan dan aplikasi hanya dengan arahan suara, sentuh dan arahan teks.

Fungsi arahan suara Bixby akan disepadukan dengan aplikasi natif seperti kamera, hubungan, galeri, mesej dan tetapan. Bixby akan mempelajari tabiat pemakai dan beroperasi pantas menyediakan maklumat yang diinginkan.

[Gambar di atas diambil menggunakan kamera Sony RX100 mkV]

Apa komen anda?