[MWC2017] Akhirnya Android muat dimasukkan dalam telefon Nokia

Share Button

Berita Nokia 3310 dilihat menenggelamkan ketibaan telefon Nokia yang lain, tetapi ia masih telefon pintar yang menarik untuk dikongsi. Di pentas yang sama dengan pelancaran Nokia 3310, HMD GLobal mengumumkan tiga telefon pintar berasaskan Android akan dijual di seluruh dunia. Ia dikenali sebagai Nokia 6, Nokia 5 dan Nokia 3.

HMD Global menjanjikan peranti Nokia yang baru ini, sehebat lagenda-lagenda Nokia sebelum ini. Tahan lasak, mudah digunakan dan tahan lama. Ia menggunakan sistem operasi Android terbaru, dan akan menerima kemaskini keselamatan setiap bulan.

Pembantu maya Android yang baru, Google Assistant akan sedia digunakan pada semua peranti Nokia, selaras dengan penggunaan Android 7.0 Nougat yang asli. Ketiga-tiga telefon pintar Android ini akan mula dijual pada suku kedua 2017.

Nokia 6

Telefon pintar Android pertama dari Nokia ini, telah dilancarkan di China awal tahun ini. Ibarat pisang goreng panas, ia menerima pra-pendaftaran sebanyak 1.3 juta minat dan habis dijual dalam masa 23 saat sahaja. Fakta menarik, lebih 70% pembeli adalah mereka yang tidak pernah menggunakan Nokia sebelum ini.

Kelebihan yang terdapat pada Nokia 6 adalah seperti badan besi yang dibentuk dari sebongkah aluminium, sistem bunyi stereo Dolby Atmos dan pengimbas capjari di depan.

Kameranya juga menarik, menggunakan sensor 16MP f/2.0 dengan sensor sebesar 1.0-mikron serta dwi-LED FLash dan PDAF di belakang, bersama 8MP f/2.0 bersudut lebar 84-darjah dan sensor sebesar 1.12-mikron.

Skrinnya berukuran 5.5-inci, dari jenis IPS dan resolusi HD Penuh 1920×1080. Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 4. Bateri 3,000mAh terdapat di dalam dengan pengecasan melalui port USB-C.

Kuasa pemproses pula menggunakan Qualcomm Snapdragon 430, bersama 3GB RAM dan 32GB storan, dan menerima kad mikroSD untuk storan tambahan. Nampak kurang berkuasa, tetapi belum cuba belum tau.

Harga jualan Nokia 6 adalah EUR229 (~RM1,079). Warna yang disediakan adalah Hitam, Perak, Biru dan Kuprum. Maklumat lanjut di laman produk Nokia 6.

Nokia 6 R Hitam Edisi Terhad

HMD Global turut mengumumkan satu edisi khas Nokia 6, dikenali sebagai ‘Nokia 6 R Black Limited Edition’. Tidak banyak perbezaan darinya melainkan datang dalam warna Hitam Arte yang berkilat, RAM lebih besar 4GB dan storan lebih luas 64GB. Ia akan dijual pada harga EUR299 (~RM1,409).

Nokia 5

Telefon ini juga dibentuk dari sebongkah aluminium, dengan rekaan yang telah penulis rasa sendiri, paling selesa pernah dipegang. Skrinnya hanya 5.2-inci beresolusi HD 1280×720, dengan lapisan kaca Corning Gorilla Glass 4.

Untuk kamera, ia dilengkapi sensor 13MP PDAF f/2.0, bersama dwi-LED Flash dan sensor sebesar 1.12-mikron. Kamera depan pula 8MP f/2.0 dengan sensor yang sama besar. Baterinya sebesar 3,000mAh.

Pemproses yang sama digunakan oleh Nokia 5, iaitu Snapdragon 430 tetapi hanya 2GB RAM dan 16GB storan. MikroSD pula disokong dengan kapasiti sehingga 128GB.

Nokia 5 akan dijual pada harga EUR189 (~RM890) dengan empat warna iaitu Hitam, Perak, Biru dan Kuprum. Maklumat lanjut di laman produk Nokia 5.

Nokia 3

Untuk pengguna bajet yang mahu memiliki telefon pintar Nokia, HMD Global menyediakan nokia 3. Ia memiliki skrin 5.0-inci HD, dan kaca Corning Gorilla Glass. Pemproses Mediatek MTK6737, 2GB RAM dan 16GB storan dimuatkan di dalamnya. Bateri sedikti kecil, hanya 2,650mAh.

Kamera depan dan belakangnya 8MP, f/2.0 dan sensor sebesar 1.12-mikron, bersama tambahan autofokus dan dwi-LED flash untuk kamera belakang.

Nokia 3 akan dijual pada harga EUR139 (~RM655) dengan empat warna iaitu Biru, Hitam, Perak dan Kuprum. Maklumat lanjut di laman produk Nokia 3.

Trackbacks

  1. […] kembali telefon ikonik Nokia 3310 yang mereka lancarkan 17 tahun yang lalu, bersama-sama Nokia 3,5, dan 6 dalam usaha memposisikan jenama Nokia di tengah-tengah lautan pesaing […]

Apa komen anda?