Malaysia paling awal sambut ketibaan Huawei P10

Share Button

Semalam khabar angin, hari ini menjadi nyata. Huawei P10 dan P10 Plus yang baru diperkenalkan di MWC Barcelona, akan membuat kemunculan sulung di Malaysia minggu depan, Rabu 8 Mac 2017.

Ia diketahui menerusi jemputan media ke majlis pengenalan Huawei P10 dan P10 Plus, yang akan diadakan di Lembah Klang. TheSkop turut menerima jemputan ke acara ini.

Dengan adanya majlis ini, ia menandakan tarikh penjualan Huawei P10 dan P10 Plus tidak berapa jauh. Dijangkakan ia akan dibuat dalam bulan Mac juga.

Semasa pelancaran di MWC, Huawei P10 diumumkan berharga EUR649 [4GB+64GB] atau sekitar RM3,043. Manakala Huawei P10 Plus pula berharga EUR699 [4GB+64G] sekitar RM3,277 dan EUR799 [6GB+128GB] sekitar RM3,746.

Untuk perbandingan, Huawei Mate 9 [4GB+64GB] berharga RM2,699. Manakala Mate 9 Pro [6GB+128GB] pula berharga RM3,399. Edisi Khas Mate 9 Porsche pula dijual pada harga RM6,999.

Huawei P9 tahun lepas dilancarkan dengan harga RM2,099, manakala P9 Plus RM2,599. Berapa pula harga Huawei P10 dan P10 Plus di Malaysia nanti? Jika Huawei P10 memiliki 4GB RAM dan 64GB storan, kami jangka harganya di antara RM2,599 atau RM2,699. Untuk P10 Plus pula, pasti melebihi RM3,000. Harapnya, harga Huawei P10 berwarna Pantone dikekalkan sama seperti warna biasa.

Huawei P10 yang baru ini memang sangat menarik. Selain datang dengan warna Pantone yang sangat segar dan menarik, ia dilengkapi kamera dwi-lensa dengan kerjasama Leica yang dinaik taraf kepada 20MP monokrom dan 12MP RGB. Sementara P10 menggunakan kaca Summarit f/2.2, P10 Plus dilengkapi kaca Summilux f/1.8 yang lebih baik.

Jangan lupa untuk terus bersama TheSkop bagi mengetahui berita lanjut tentang Huawei P10 dan P10 Plus, terutama sekali tentang harganya.

Apa komen anda?