Majoriti pengguna tidak pernah membeli aplikasi

Share Button

Berapa banyak anda berbelanja untuk aplikasi di telefon pintar? Tak pernah? Usah risau, kerana majoriti pengguna telefon pintar sama seperti anda. Ia dibentangkan oleh Gartner dalam laporan perbelanjaan pengguna untuk aplikasi telefon pintar.

Gartner membuat kajiselidik meliputi lebih 3,000 pengguna di Amerika Syarikat, United Kingdom dan China. Ia dibuat selama 3 bulan bermula dari Ogos sehingga Oktober 2016. Kajiselidik ini juga memantau dua perkara. Selain pembelian aplikasi telefon pintar, ia juga melihat kelakuan pengguna terhadap pembelian di dalam aplikasi.

Walaupun lebih 50% pengguna masih lagi tidak pernah membuat pembelian aplikasi atau di dalam aplikasi, masih terdapat peningkatan dalam kedua-dua aspek ini. Kenaikan sebanyak 4% pembelian aplikasi di lihat pada 2016, berbanding waktu yang sama pada 2015. Tetapi pembelian di dalam aplikasi pada tahun lepas menunjukkan peningkatan lebih tinggi, iaitu sebanyak 26% dari tahun 2015.

Rajah Gartner - pembeli aplikasi mudah alih di peranti dalam USD

Gartner juga melihat, responden yang membeli aplikasi melebihi USD15 (~RM66), lebih cenderung untuk berbelanja lebih banyak di dalam aplikasi. Ini memberi petanda bahawa pengguna melihat lebih banyak nilai di dalam aplikasi dan dengan senang hati berbelanja lebih di dalamnya.

Dari segi umur, pengguna dewasa paling banyak berbelanja, dalam lingkungan umur 25-34 tahun. Ia diikuti oleh Generasi X, berumur di antara 35-44 tahun yang lebih cenderung berbelanja di dalam aplikasi. Manakala remaja berusia 18-24 tahun menunjukkan kelakuan kurang berbelanja membeli aplikasi, tetapi banyak berbelanja di dalam aplikasi.

Perbezaan jantina pula menunjukkan perempuan kurang berbelanja untuk perkara sebegini berbanding lelaki. Tetapi mereka gemar mencuba aplikasi Freemium, yang membenarkan penggunaan aplikasi tersebut sepenuhnya, sebelum memutuskan untuk membelinya.

Adakah anda merancang untuk mula membeli aplikasi mudah alih? Apakah jenis aplikasi pertama yang akan anda beli nanti?

[SUMBER: Gartner]

Apa komen anda?