HTC ‘U’ntuk anda pengguna di Malaysia

Share Button

Bulan lepas HTC baru melancarkan telefon pintar U Ultra dan U Play di Amerika Syarikat. Khabarnya, ia akan dilancarkan di Malaysia bulan ini. Kerana jemputan ke majlis pelancarannya telah diedarkan dan akan berlangsung pada Khamis ini, 16 Februari 2017.

HTC U Ultra dan U Play merupakan telefon pintar HTC yang tidak lagi menggunakan badan besi, seperti mana telefon pintar kelas atasan HTC sebelum ini. Ia menggunakan rekaan cecair simetri, gabungan warna dan kaca yang menjadi lapisan belakang telefon pintar ini.

HTC U Ultra adalah telefon pintar utama terbaru dari HTC. Ia mempunyai skrin kedua yang unik, boleh memaparkan notifikasi, pintasan aplikasi, senarai kenalan malah maklumat seperti cuaca dan sebagainya. Skrin utamanya sebesar 5.7-inci dengan resolusi QuadHD (2560×1440), manakala skrin kedua sebesar 2.0-inci (1040×260).

Kuasa HTC U Ultra digerakkan oleh pemproses Snapdragon 821 dan 4GB RAM. Storan dalamannya pula sebesar 64GB untuk versi kaca Gorilla Glass 5, dan 128GB untuk versi kaca nilam (Sapphire). Sehingga 2TB kad mikroSD disokong oleh telefon pintar ini.

HTC membekalkan kamera Ultrapixel 2 padanya, dengan kemampuan 12MP f/1.8, sensor sebesar 1.55-mikron, autofokus hibrid PDAF & lazer serta penstabil imej optikal (OIS). Kamera hadapan pula 16MP menggunakan teknologi Ultrapixel.

HTC U Ultra didatangkan dengan bateri berkapasiti 3,000mAh, yang menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0 melalui port USB-C. Tiada port audio 3.5mm padanya tetapi ia didatangkan bersama fon kepala USB-C. Ia juga memiliki sistem bunyi Boomsound Hi-Fi, menggunakan enjin tweeter di atas dan woofer di bawah telefon.

Bagi telefon lebih mampu milik, HTC memperkenalkan U Play. Skrinnya sedikit kecil, 5.2-inci HD Penuh. Kuasanya juga lebih rendah, dijana oleh pemproses Mediatek Helio P10 bersama 4GB RAM dan 64GB storan dalaman.

Kamera HTC U Play pula 16MP di depan dan belakang. Baterinya sebesar 2,500mAh dan dicas melalui USB-C. Seperti U Ultra, U Play juga tiadak port audio 3.5mm.

Nantikan liputan pelancaran telefon pintar HTC U pada hari Khamis ini, secara terus dari pasukan TheSkop.

Apa komen anda?