HTC U, Telefon Yang Belajar Tingkah Laku Penggunanya

Share Button

Lembaran 2017 dimulakan HTC apabila melancarkan HTC U Ultra dan HTC U Play di CES 2017 pada Januari yang lalu dan pada hari ini, ia telah dilancarkan di tanah air. Telefon yang berharga masing-masing RM2,999 dan RM1,899 kelihatan agak diluar norma jika diteliti helaian spesifikasi, malah tiada port audio disediakan, sama seperti iPhone 7 & 7s.

Dari kiri: HTC U Ultra & HTC U Play

HTC U Ultra adalah sebuah flagship yang unik kerana memiliki panel paparan sekunder khas untuk memaparkan notifikasi supaya tidak mengganggu penggunanya semasa melakukan tugasan seperti bermain games. Di bahagian atas, berhampiran speaker, anda boleh menemui panel paparan sekunder beresolusi 160 x 1040 piksel.

Kamera hadapannya sebesar 16MP manakala kamera belakanga sebesar 12MP dengan pembidik fokus laser dan PDAF serta penstabil imej optikal.

Pada sudut spesifikasi, ia sama seperti flagship tahun sudah, dengan Snapdragon 821 dan RAM seluas 4GB. Paparan utamanya adalah daripada jenis LCD5 sebesar 5.7 inci dengan resolusi QHD. Bateri yang menguasakan peranti ini berkapasiti 3,000mAh. Seluas 64GB storan disediakan bersama-sama satu slot mikro-SD jika storan menjadi masalah.

Paparan Sekunder pada HTC U Ultra

HTC U Play adalah varian yang lebih rendah dengan cip pemproses MediaTek P10 dan bergandingan dengan RAM seluas 4GB. Ia tidak mempunyai skrin sekunder seperti saudaranya dan memiliki skrin yang lebih kecil iaitu 5.2 inci pada resolusi HD penuh.

Dibekalkan bateri sebesar 2,500mAh, telefon ini juga memiliki fungsi pengecasan pantas. Sebanyak 64GB ruang storan disediakan bersama-sama satu slot mikro-SD yang boleh menampung sehingga 2TB luasnya.

Komponen optikal pada HTC U Play menggunakan sensor 16MP pada kedua-dua kamera depan dan belakangnya. Pada kamera belakang, ia hanya mempunyai pembidik fokus PDAF serta OIS.

Untuk kekal bersaing, HTC berbangga dengan kecerdasan buatan mereka yang dipanggil HTC Sense Companion. Menggunakan kuasa pembelajaran mesin, ia belajar pola penggunaan telefon dan memberikan cadangan pintar berdasarkan data-data tertentu. Misalnya, jika tuannya ada janji temu pada sebelah malam, ia akan mengingatkannya untuk mengecas telefon pada sebelah petangnya.

HTC U Ultra akan mula dijual bermula Mac ini manakala saudaranya yang lebih kerdil pada penghujung Mac ini. HTC U Ultra hadir dalam warna hitam, merah jambu, dan biru manakala U Play gah dalam warna Hitam dan Putih.

Trackbacks

  1. […] U Ultra dilancarkan di Malaysia Februari lepas, dengan storan 64GB. Ia kini dijual pada harga RM2,499. Manakala HTC U Ultra […]

  2. […] hari ini mengumumkan pemotongan harga untuk telefon pintar utama terbaru mereka, HTC U Ultra. Mula dijual di Malaysia pada Mac lepas dengan harga RM2,999, ia kini akan dijual pada harga RM2,599 sahaja, pemotongan […]

Apa komen anda?