HMD Global mahu kembalikan kegemilangan Nokia 3310

Share Button

Jika anda baru keluar tempurung atau gua, jenama Nokia kini telah menjadi milik syarikat HMD Global. Telefon pintar pertama mereka, Nokia 6 telah dilancarkan di China. Bersempena pameran MWC 2017 yang akan tiba bulan ini, HMD Global tidak ketinggalan mahu melancarkan telefon baru. Khabarnya, salah satu darinya adalah telegon lagenda Nokia 3310. Perkara ini didedahkan oleh @EvLeaks.

Pasti masih ramai yang memiliki kenangan bersama Nokia 3310, yang diperkenalkan pada tahun 2000. Mungkin kerana popularitinya yang masih menebal di kalangan peminat, HMD Global dikatakan akan melancarkan semula Nokia 3310. Bukan dalam bentuk telefon pintar, tetapi telefon biasa. Sudah pasti, fokus utamanya adalah badan yang tahan lasak, serta bateri yang tahan lama.

Nokia 3310 yang baru ini dijangka akan diperkenalkan di MWC 2017, dan akan dijual pada harga EUR59 (~RM277). Ia dikatakan akan dijual di Eropah terlebih dahulu, sebelum dibawa ke pasaran lain.

Nokia 6 telah dilancarkan di China

Selain Nokia 3310 dan Nokia 6, HMD Global dijangka akan turut melancarkan dua lagi model telefon pintar, iaitu Nokia 5 dan Nokia 3. Dilihat dari nombornya, kedua-dua peranti ini akan memiliki spesifikasi lebih rendah dari Nokia 6, yang memiliki pemproses Snapdragon 430, 4GB RAM, 64GB Storan, skrin 5.5-inci HD Penuh dan 16MP kamera belakang.

Nokia 5 dijangka akan dikuasakan pemproses Snapdragon 430, bersama 2GB RAM, skrin 5.2-inci dan kamera belakang 12MP. Harganya pula sekitar EUR199 (~RM936). Tiada maklumat tentang spesifikasi Nokia 3, tetapi harganya dikhabarkan pada EUR149 (~RM701).

HMD Global dilihat sangat aktif mengembalikan Nokia ke arena telefon pintar. Apakah telefon Nokia yang paling anda mahu tahu? Pasukan TheSkop akan terbang ke MWC 2017 dan akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan jawapan untuk anda.

[SUMBER: VentureBeat]

Apa komen anda?