7 tips Ibubapa Digital Contoh dari kaca mata FOSI

Share Button

Netflix, penyedia kandungan TV Internet terkemuka, telah menganjurkan satu sesi dialog sempena Hari Keselamatan Internet 2017. Ia disertai pakar akademik, pengawal selia dan pemain teknologi tempatan, bersama Family Online Safety Institute (FOSI – Institut Keselamatan Keluarga Dalam Talian).

Dalam perbincangan ini, panel dialog menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak, yang perlu melibatkan setiap lapisan masyarakat dari kerajaan, penguatkuasa, wakil industri, pendidik dan ibubapa. FOSI ditubuhkan dengan matlamat untuk menjadikan dunia lebih selamat buat kanak-kanak dan keluarga.

Dari Kiri: Laurent Duvillier (UNICEF Malaysia), Kuek Yu-Chuang (Netflix), K Juslly Elis (SKMM), Lt. Kol. Mustaffa Bin Ahmad [BERSARA](CyberSecurity Malaysia), Stephen Balkam (FOSI), & Dr. Moniza Waheed (UPM)

Ahli panel dialog ini melibatkan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cybersecurity Malaysia, UNICEF Malaysia dan Universtiti Putra Malaysia. FOSI turut berkongsi tujuh inisiatif ‘Ibubapa Digital Contoh‘ iaitu:

1. Luangkan banyak masa berborak dengan anak-anak dalam suasana tenang. Berfikiran terbuka dan bercakap terus, tidak berbelit.

2. Pelajari sendiri aplikasi, permainan dan laman web yang menjadi kegemaran anak-anak. Cari sahaja dalam talian jika tidak faham.

3. Guna tetapan kawalan ibubapa. Aktifkan tetapan keselamatan di dalam sistem operasi, enjin carian dan permainan. Gunakan tetapan kawalan ibubapa pada telefon pintar, tablet dan konsol permainan anak-anak. Pantau selalu masa dan penggunaan.

4. Tetapkan syarat dan sekatan. Hadkan masa dan waktu penggunaan produk teknologi. Buat sekatan jika perlu.

5. Berkawan dengan anak-anak di media sosial tetapi jangan menghendap. Hormati ruang mereka dalam talian, dan jangan terlalu mengongkong. Sokong mereka untuk mencipta reputasi digital yang baik.

6. Teroka dunia online bersama-sama. Pergunakan teknologi perhubungan digital. Belajar dari mereka dan bergembira bersama.

7. Jadi model diri sebagai contoh. Kawal tabiat buruk digital diri sendiri, tahu masa bila untuk berhenti.

Keselamatan siber dan digital buat kanak-kanak, bermula dari rumah dan keluarga. Jadikan ia persekitaran yang lebih selamat.

Apa komen anda?