Ulangtahun ke-10 Sony Alpha tiba bersama tiga kamera baru

Share Button

10 tahun yang lalu, Sony mengambil alih bahagian kamera Konica Minolta dan memperkenalkan siri kamera Sony Alpha. Ternyata langkah ini menguntungkan buat Sony. 10 tahun kemudian, Sony kembali dengan tiga model kamera baru: a99 II, a6500 dan Cyber-Shot RX100 mV.

Bagi meraikan ulangtahun ke-10 ini, Sony menjemput peminat dan rakan media untuk sama-sama mencuba sendiri kamera terbaru keluaran Sony. Sony Experience 2017 memberi peluang kepada peminat kamera Sony untuk meneliti dengan lebih mendalam tentang teknologi kamera Sony serta mendapatkan penerangan dari pakar pengguna kamera Sony.

sony-experience-a99-ii-a6500-rx100-mv-koleksi-kamera-dan-lensa-sony

Satoru Arai, Pengarah Urusan Sony Malaysia berkata, “Sony merupakan peneraju pengimejan digital serta pengeluar sensor imej terbesar di dunia. Jualan kamera Sony juga naik mendadak, seperti no 1 dalam jualan kamera ‘Full-Frame Mirrorless’, kedudukan yang dipegang Sony selama 6 tahun berturut-turut sejak 2010. Ia berikutan kejayaan siri a7 dan siri a6xxx.”

Dalam majlis ini, beberapa jurukamera dan juruvideo terkenal berkongsi pengalaman dan tips mereka tentang penggunaan kamera Sony. Di antaranya adalah Nick Ng (Jurugambar Jalanan dan pemenang SWPA), Eric Ooi (Jurugambar Potret dan Perkahwinan), Fakrul Jamil (Jurugambar Lanskap) dan Rosli Mohamed (Juruvideo dan Pengarah CST Production).

 

α99 II

sony-a99-ii-cover

Generasi kedua α99 ini merupakan kamera ‘Full-frame’ 35mm dengan resolusi 42.4MP. Ia menggunakan CMOS sensor Exmor R bersama pemproses BIONZ X. Di dalamnya, ia memiliki penstabil imej imej optikal SteadyShot 5-paksi, memberi hasil tangkapan jelas ketika zum jauh, jarak dekat mahupun di waktu malam.

Autofokus boleh dikunci dengan pantas dan tepat, melalui gabungan 79 titik autofokus mendatar dan 399 titik autofokus menegak. Hasilnya, 79 titik fokus hibrid untuk apa jua subjek.

Kamera ini mampu merakam video dengan resolusi 4K. Ia menggunakan format Super 35mm, merakam lebih luas tanpa mengorbankan piksel berlebihan. Malah, ia juga menyimpan lebih banyak maklumat gambar seperti kedalaman dan dimensi. Sony α99 II juga menyokong gamma S-Log3 dan S-Log2, memberikan julat dinamik lebih lebar.

sony-a99-ii-dalam-tangan

Mod S&Q di dalam α99 II memudahkan tangkapan gambar untuk pilihan sela-masa atau gerak perlahan. Ia memberi pilihan dari 1fps sehingga 120fps, menjadikan sehingga 60X gerak pantas atau 5x gerak perlahan. Semua rakaman ini boleh dibuat dalam resolusi HD Penuh (50Mbps).

Kamera Sony α99 II akan dijual di Malaysia dengan harga RM12,299. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Sony α99 II.

 

α6500

sony-a6500-cover

Kamera siri ini merupakan salah satu kamera kompak Sony paling popular. α6500 dipertingkat fungsi dan kecekapan, di dalam badan kecil yang mudah dibawa bersama. Ia menggunakan sistem APS-C bersama lensa boleh ubah, dengan resolusi tangkapan 24.2MP.

Antara fungsi baru yang hebat pada α6500 ini adalah kemampuan merakam gambar secara berterusan sehingga 307 gambar, selama 36 saat bersama penjejak autofokus. Ia juga memiliki penstabil imej optikal 5 paksi terbina di dalam.

Fungsi autofokus α6500 juga adalah yang terbaik. Ia memiliki 425 titik fokus, paling banyak di dunia. Dengan kuasa pemproses BIONZ-X, ia boleh mengunci fokus sepantas 0.05 saat untuk menangkap subjek bergerak dengan jelas dan jitu. Malah, pengguna boleh mentapkan fokus secara manual melalui skrin sentuh, sama seperti penggunaan di telefon pintar.

Pelbagai lensa boleh dilengkapi pada kamera α6500. Ia menyokong lensa E-mount, lensa A-mount melalui adaptor serta pelbagai lensa pihak ketiga melalui adaptor.

Rakaman video α6500 juga tidak kurang hebatnya. Ia mampu merakam setinggi resolusi 4K, yang dijana dari tangkapan 6K (20MP) dalam format Super 35mm. α6500 juga menyokong mod S&Q, sehingga 5x gerak perlahan dan 60X gerak pantas dalam format HD Penuh.

Satu perkara menarik dengan α6500, ia boleh dicas menggunakan powerbank agar boleh terus digunakan tanpa mengganti bateri. Kamera Sony α6500 akan dijual di Malaysia pada RM6,499 (badan sahaja). Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Sony α6500.

 

RX100 V

sony-experience-rx100-mv-depan

Jika anda mencari kamera paling kecil dengan fungsi paling berkuasa, salah satu pilihan terbaik adalah RX100. Kini ia telah memasuki generasi ke-5 sambil mengekalkan badan kecil dan kompak.

Sony RX100 V mengekalkan sensor imej 1.0-inci, dengan autofokus pantas 0.05 saat dan 315-titik autofokus, paling banyak dalam kelasnya. Menangkap gambar juga lebih mudah, dengan previu gambar menerusi skrin LCD atau menggunakan EVF seperti kamera SLR.

Kamera Sony RX100 V merakam gambar dengan resolusi setinggi 20.1MP menggunakan sensor CMOS Exmor RS, beserta pemproses imej BIONZ X. Ia juga mampu merakam gambar secara berterusan sepantas 24 fps.

Rakaman video pula boleh dilakukan sehingga 4K, dengan piksel penuh untuk rakaman lebih jitu. Malah, rakaman gerak perlahan boleh dibuat sehingga 960fps, 2x lebih banyak berbanding model sebelum ini.

Kamera kompak Sony RX100 V boleh dibeli di Malaysia pada harga RM4,599. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Sony RX100 V.

sony-experience-rx100-mv-atas

Apa komen anda?