Satu Lagi Syarikat Jam Tangan Pintar Ditelan FitBit

Share Button

Baru saja ditubuhkan pada Mac tahun 2016, sebuah syarikat pembangun jam tangan pintar dari Romania yang bernama Vector sudahpun diambil alih oleh FitBit. Pengambilalihan yang tidak diumumkan butiran kewangan itu akan memindahkan pasukan jurutera dan teknologi Vector masuk ke FitBit sekali gus melenyapkan terus jenama Vector.

Perkara ini disahkan sendiri oleh ketua pegawai teknologi (CTO) Vector, Andrei Pitis.

170110-jam-tangan-vector-2

Vector menghasilkan jam tangan pintar yang menggunakan paparan LCD daripada jenis e-ink. Ia mampu memberikan waktu operasi sehingga 30 hari dan boleh ditambat pada iOS, Android, dan Windows Phone. Bukan saja premium, produk Vector juga lasak sehinggakan kalis air sedalam 50m.

Dengan pengambilalihan ini, segala pembangunan produk Vector akan terhenti dan pengguna tidak akan menerima lagi sebarang kemas kini daripada pihak pembangun. Walau bagaimanapun, jam tangan sedia ada yang masih beroperasi masih boleh digunakan walaupun ia tidak lagi disokong oleh Vector. Nasib yang sama turut menimpa Pebble pada penghujung 2016.

FitBit juga dilaporkan telah mengambil alih pelopor jam tangan pintar, Pebble. Kebetulan kedua-dua pengeluar, Pebble dan Vector menggunakan teknologi panel paparan e-ink pada produk mereka yang memberikan waktu penggunaan yang jauh lebih panjang berbanding jam tangan pintar yang menggunakan LCD.

Adakah kita akan menyaksikan teknologi e-ink digunakan pada produk FitBit akan datang?

[Sumber: TechCrunch, Vectorgambar]

Apa komen anda?