Liquid simetri taruhan terbaru HTC U Ultra dan U Play

Share Button

HTC hari ini melancarkan siri baru untuk telefon pintar mereka, dinamakan siri-U. Dua model siri-U diperkenalkan iaitu U Ultra sebagai peranti kelas utama, dan U Play yang tergolong dalam kelas pertengahan.

Satu perkara ketara pada siri-U ini adalah ketiadaan port audio 3.5mm, seperti di Moto Z dan iPhone 7. Suka atau tidak, mungkin ini adalah jalan yang akan ditempuhi oleh peranti kelas utama selepas ini.

HTC lancar U Ultra - liquid putih belakang bawah

Antara perkara yang ditekankan HTC adalah teknologi HTC USonic yang diterapkan ke dalam fon kepala melalui sambungan USB-C. Ia menggunakan gelombang sonik untuk menghantar bunyi yang lebih jelas dan optimum mengikut rekabentuk telinga pengguna.

Siri-U ini menggunakan rekaan simetri, dengan kaca lengkung 3D di belakang. Kemasan warna belakang pula menggunakan inspirasi cecair diselaputi kaca, dengan pantulan yang menarik perhatian menjadikan ia kelihatan lembut digenggam.

HTC lancar U Play dan U Ultra - rekaan liquid belakang

HTC juga dilihat cuba mempromosikan AI, kepintaran buatan yang dinyatakan banyak membantu operasi telefon. Seperti kawalan bateri pintar, paparan pintar, antaramuka HTC Sense pintar, sistem bunyi pintar dan lain-lain. Dari pandangan kami, ia cuma satu terma yang cuba dipromosikan HTC untuk menambah rasa hebat telefon pintar baru ini.

 

HTC U Ultra

HTC lancar U Ultra - rumusan spesifikasi

Perkara paling menarik pada U Ultra adalah skrin kedua, yang terletak di sebelah kamera depan. Ia berfungsi seperti touch bar pada Macbook Pro, boleh memaparkan notifikasi, pintasan aplikasi, senarai kenalan malah maklumat seperti cuaca dan sebagainya. Selain itu, sistem bunyi U Ultra yang dijana oleh pembesar suara Boomsound Hi-Fi, menggunakan enjin tweeter di atas dan woofer di bawah telefon.

Kuasa dalaman HTC U Ultra diuruskan oleh pemproses Snapdragon 821, bersama RAM sebesar 4GB. Storan dalamannya ditawarkan sebanyak 64GB untuk model kaca Gorilla Glass 5, atau 128GB bagi model kaca nilam (sapphire). Ia juga sedia menerima kad mikroSD sehingga 2TB untuk storan tambahan.

Skrin seluas 5.7-inci beresolusi Quad HD (2560×1440) memenuhi ruang depan HTC U Ultra, bersama skrin kedua berukuran 2.0-inci (1040×160). Ia menggunakan antaramuka HTC Sense yang dikuasakan AI, mencadangkan apakah perkara terbaik patut ada di skrin. Sistem operasinya pula menggunakan Android 7.0 Nougat.

Ibarat standard kelas utama, kamera belakang 12MP menjadi pilihan HTC U Ultra. Ia diperkasa Ultrapixel 2 dengan sensor sebesar 1.55-mikron, bersama autofokus PDAF dan lazer, serta penstabil imej optikal (OIS). Kamera hadapan pula 16MP ditambah Ultrapixel, untuk swafoto lebih bercahaya.

Bateri berkapasiti 3,000mAh dimuatkan ke dalam U Ultra, dan ia menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0. Setakat ini, HTC belum mengumumkan harga dan bilakah ia akan mula menjual HTC U Ultra. Maklumat lanjut di laman produk HTC U Ultra.

 

HTC U Play

HTC lancar U Play - rumusan spesifikasi

Dikategorikan untuk kelas pertengahan, HTC U Play memiliki badan lebih kecil dari U Ultra, dengan skrin 5.2-inci HD Penuh. Ia menggunakan Mediatek Helio P10 sebagai tenaga penggerak, dengan 4GB RAM dan 64GB storan dalaman. Kad mikroSD sehingga 2TB boleh dimuatkan ke dalamnya.

Tiada perkara unik atau berbeza pada U Play untuk dibandingkan dengan telefon pintar sedia ada di pasaran. Melainkan kehilangan port audio 3.5mm, dan teknologi fon kepala USonic melalui sambungan USB-C.

Kamera hadapan dan belakang U Play kedua-duanya merakam gambar sehinga 16MP. Bezanya, kamera belakang dilengkapi autofokus PDAF dan OIS, beserta apertur f/2.0 dan dwi-tona flash. Kamera hadapan pula dilengkapi UltraPixel dan apertur f/2.0. Rakaman video boleh dibuat sehingga 1080p sahaja, tiada resolusi 4K.

Saiz yang kecil, membuatkan bateri yang terdapat padanya juga kecil, hanya 2,500mAh. Ia tidak menyokong sebarang pengecasan pantas, melainkan pengecas biasa 5V/2A. Tanda harga dan tarikh jualan juga masih belum diketahui. Maklumat lanjut di laman produk HTC U Play.

HTC lancar U Play - belakang tiga warna

Apa komen anda?