Langkah mudah elak caj perayauan melampau

Share Button

Memang seronok kalau dapat bercuti, apatah lagi pergi berjalan ke luar negara. Di zaman letusan media sosial kini, tak sah kalau tak dimuat naik status atau gambar di luar negara. Tapi pernahkan anda terima kejutan bil telefon sejurus pulang dari luar negara?

Jika ya, bermakna anda tidak membuat persiapan secukupnya. Contohnya baru-baru ini heboh seorang rakyat Malaysia ke Dubai, menerima bil sebanyak RM42,522.80 selepas pulang ke Malaysia. Ringgit Malaysia Empat Puluh Dua Ribu, boleh beli sebuah kereta dah tu.

Kejutan bil ini diterima kerana beliau tidak mempersiapkan diri untuk penggunaan internet apabila berada di luar negara. Di sebelah pihak syarikat telekomunikasi (telko) pula, mereka sepatutnya memberi notifikasi kepada pengguna apabila bil mencecah sesuatu angka. Tetapi tahukah anda, had kredit yang ditetapkan pada akaun pascabayar anda, tidak berguna apabila anda menggunakan perkhidmatan perayauan antarabangsa?

Salah Siapa?

kejutan bil - perayauan data melampau

Ini kerana khidmat perayauan di luar negara disediakan oleh Telko luar negara. Mereka akan menghantar bil penggunaan khidmat perayauan kepada telko pengguna di Malaysia, bukan pada masa nyata. Mungkin beberapa hari atau minggu selepasnya. Jadi, Telko di Malaysia akan lewat mendapat maklumat berkenaan caj ini, sekaligus had kredit tidak lagi boleh diguna pakai.

Sebenarnya agak sukar untuk memastikan pihak mana yang bersalah jika caj melampau dikenakan. Tetapi ia boleh diatasi jika kita mempersiapkan diri secukupnya sebelum ke luar negara. Perkara ini mudah sahaja sebenarnya.

Langkah pertama

Matikan fungsi ‘Data Roaming‘. Ia adalah langkah keselamatan pertama yang wajib dilakukan selepas membeli telefon baru, atau menetapkan telefon buat pertama kali.

kejutan bil perayauan - matikan data roaming

Penulis sendiri pernah beberapa kali menerima laporan dari rakan, yang dikenakan caj ‘Roaming‘ apabila berada berhampiran sempadan Malaysia, samada Thailand, Singapura atau Indonesia. Ini belum keluar dari Malaysia pun. Ia terjadi kerana telefon akan sentiasa cuba mencari signal paling kuat, dan ia mungkin bersambung ke telko luar negara ketika berada di sempadan. Jika Data Roaming aktif, maka ia akan mula menggunakan data dari telko luar negara, dan pengguna akan dikenakan caj perayauan.

Sebenarnya, ini sahaja yang diperlukan untuk memastikan anda tidak dikenakan caj melampau Roaming. Tetapi, bagaimana pula jika anda mahu menggunakan Data Roaming ketika berada di luar negara? Anda masih perlu berjaga-jaga, dan kami cadangkan langkah di bawah ini.

Perayauan Data Luar Negara

Untuk menggunakan data di luar negara, terdapat beberapa cara untuk melakukannya. Tetapi di sini, kami akan terangkan cara penggunaannya secara terus menerusi Telko Malaysia yang sedang anda gunakan.

1. Aktifkan Perayauan

Kadang-kadang ia tidak perlu, tetapi sebaiknya hubungi Telko anda untuk mengaktifkan perayauan. Untuk pengguna baru, mungkin perlu meletakkan deposit tetapi Telko kini menjadikannya lebih mudah. Hanya buat panggilan untuk pengaktifan, dan ia hanya perlu dibuat sekali sahaja.

2. Kenali Negara yang dilawati

Lain negara, lain harganya. Ada negara yang boleh dilanggan perayauan data dengan harga rata sehari, tetapi masih banyak negara yang mengenakan caj mengikut saiz data yang digunakan.

Tetapi lebih penting lagi, kena tahu Telko apa yang perlu digunakan apabila berada di negara tersebut. Kerana jika anda tersalah menyambung Telko , maka caj yang dikenakan adalah berbeza. Dalam hal ini, anda perlu membuat tetapan sambungan secara manual.

kejutan bil perayauan - pilih rangkaian manual

Tetapan ini biasanya terdapat di bahagian ‘Mobile Network‘, di dalam ‘Carrier‘ atau ‘Network Operator‘. Buat carian secara manual, biasanya ia akan mengambil sedikit masa, mungkin beberapa minit. Kemudian pilih Telko yang sepatutnya. Selepas ini, ia tidak akan lagi mencari secara automatik, dan hanya bersambung ke Telko yang dipilih tadi.

Contohnya, jika anda pengguna U Mobile dan mahu ke Dubai di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE). Tiada pelan data rata, sebaliknya data dicaj RM49 untuk setiap MB, atau RM4.90 setiap 100KB. Manakala rakan Telko U Mobile di UAE adalah DU.

kejutan bil perayauan - U Mobile di Dubai UAE

Atau mahu ke Seoul di Korea Selatan. U Mobile mempunyai kadar rata perayauan data hanya RM10 sehari, dengan had 500MB. Rakan Telko U Mobile di sana adalah SK Telecom. Jangan pula bersambung ke talian Korea Telecom atau LG U Plus.

3. Terima notifikasi pengaktifan

Sebelum ke luar negara, atau paling lewat pun ketika berada di dalam kapal terbang sebelum berlepas, matikan semua talian anda secara manual dan tetapkan ke mod penerbangan (Flight Mode). Bermakna, bukan sahaja matikan Data Roaming, malah matikan juga ‘Mobile Data‘.

Selepas mendarat dan dibenarkan penggunaan telefon pintar oleh Juruterbang, matikan mod penerbangan dan perkara pertama perlu dibuat adalah berhubung secara manual ke Telko yang sepatutnya. Pada tahap ini, anda harus tahu telko mana untuk bersambung kerana telah membuat kerja rumah di langkah sebelum ini.

Selepas sambungan dibuat, pastikan anda menerima SMS notifikasi dari Telko di Malaysia yang menyatakan anda berhubung dengan rakan Telko yang tepat, serta jenis pelan yang ditawarkan. Jika anda tidak menerima sebarang SMS dari Telko Malaysia, cuba berhubung dengan mereka samada membuat panggilan terus, atau pinjam internet sesiapa dan bertanyakan melalui media sosial atau laman web. Ini adalah satu langkah berjaga-jaga, takut tersilap pilih Telko dan ambil tahu caj data yang dikenakan.

kejutan bil perayauan - sms notifikasi

4. Peka Penggunaan Data

Telefon pintar terbaru kini semuanya memiliki statistik penggunaan data. Jika pelan perayauan data anda mempunyai had, sentiasa semak dan peka dengan data yang digunakan. Mungkin anda mahu menyimpan sedikit untuk penggunaan lebih penting kemudian. Atau menetapkan sendiri bajet jika tiada pelan harian untuk perayauan data.

 

Pulang ke Malaysia

Apabila sudah tiba di Malaysia, jangan lupa aktifkan semula tetapan Mobile Data dan matikan Roaming Data. Kemudian semak bil atau periksa menerusi aplikasi dan laman web Telko anda. Jika terdapat caj meragukan, buat laporan kepada Telko dan juga aduan ke Forum Pengguna Malaysia (CFM).

Dengan panduan ini, diharap ia dapat membantu anda bersiap sedia untuk ke luar negara tanpa menerima kejutan bil apabila pulang. Sebenarnya, ada beberapa cara lebih baik untuk menggunakan internet di luar negara, tapi kami akan bincangkannya di masa akan datang.

Trackbacks

  1. […] Hampir semua pascabayar dan prabayar di Malaysia menyokong perayauan data, tetapi adalah lebih baik anda menyemak terlebih dahulu dengan syarikat telekomunikasi (telko) anda. Pelajari perayauan data dengan lebih mendalam, melalui artikel kami bertajuk, “Langkah Mudah Elak Caj Perayauan Melampau“. […]

Apa komen anda?