Fungsi premium Galaxy S7 diterap ke dalam Galaxy A 2017

Share Button

Galaxy siri-A terbaru akan dilancarkan di Malaysia pada Khamis ini. Hari ini, spesifikasi penuh model terbaru dari siri-A ini diumumkan oleh Samsung Global. Seperti yang dijangka, 3 model baru akan diperkenalkan iaitu Galaxy A3 (2017), Galaxy A5 (2017) dan Galaxy A7 (2017).

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, di Malaysia hanya dua model akan dilancarkan pada Khamis ini iaitu Galaxy A5 (2017) dan Galaxy A7 (2017). Masing-masing akan dijual pada harga RM1,699 dan RM1,899, termasuk GST.

Sempena ketibaannya, Samsung Malaysia akan memberikan hadiah percuma berupa set fon kepala wayarles, Samsung Level U Pro yang bernilai RM399. Untuk menerimanya, tempahan awal perlu dibuat bermula dari 6 Januari jam 10 pagi, sehingga hari Ahad 15 Januari 2017 di kedai yang menyertai.

samsung-galaxy-a-2017-siap-sedia-untuk-tempah

Banyak perkara menarik terdapat pada Galaxy A (2017) yang baru ini. Contohnya, ketiga-tiga model Galaxy A ini kalis air dan debu dengan pengiktirafan IP68. Kesemuanya juga menggunakan sambungan USB-C untuk penghantaran data dan pengecasan bateri. Malah, ia turut menyokong Samsung Pay kerana memiliki NFC terbina di dalam.

Samsung Galaxy A (2017) menggunakan badan besi serta kaca 3D di belakang, rekaan yang sama digunakan oleh Galaxy S7 Edge dan Galaxy Note5. Kameranya juga dipertingkatkan dengan kuasa 16MP di depan dan belakang, untuk Galaxy A5 & Galaxy A7. Samsung turut melengkapkan aplikasi kamera dengan penggunaan cahaya skrin, bagi mengambil gambar swafoto yang lebih cerah.

samsung-galaxy-a-2017-hitam-depan-belakang-sisi

Skrin Galaxy A (2017) menggunakan paparan Super AMOLED dan akan menyokong fungsi Paparan Sentiasa Hidup (Always On Display). Ia boleh memaparkan pelbagai info seperti masa dan kalendar, tanpa perlu menghidupkan skrin, sekaligus menjimatkan masa dan tenaga.

Satu perkara yang agak pelik, adalah pembesar suara yang terletak di sisi kanan telefon. Ia dipergunakan oleh Samsung dalam model Galaxy J7 Prime. Tetapi ia mungkin lebih baik dari terletak di bawah, jika menonton skrin secara mendatar. Bunyi akan kedengaran lebih rata dari atas, berbanding dari sebelah tepi sahaja.

samsung-galaxy-a-2017-a5-emas-a3-hitam-a3-biru-a7-merah-jambu-kecilDari kiri: Galaxy A5 Emas, Galaxy A3 Hitam & Biru serta Galaxy A7 Merah Jambu

Samsung Global menyatakan siri-A terbaru ini akan datang dalam empat warna iaitu Gold Sand, Black Sky, Blue Mist dan Peach Cloud. Tetapi pilihan warna ini masih belum pasti untuk pasaran Malaysia. Kena tunggu hari pelancarannya kelak.

Nantikan maklumat lanjut dari kami semasa majlis pelancaran Galaxy A (2017), pada hari Khamis ini. Sementara itu, semak dahulu perbezaan spesifikasi Galaxy A (2017) di bawah ini.

spesifikasi-samsung-galaxy-a-2017-a3-a5-a7

Apa komen anda?