[CES2017] Razer Project Valerie bukti laptop boleh pasang tiga monitor

Share Button

Razer membuat kejutan di pameran CES 2017, apabila mempertontonkan sebuah prototaip yang diberi nama, ‘Project Valerie’. Ia merupakan sebuah laptop pertama di dunia yang dilengkapi tiga monitor 4K, yang mudah dibawa ke mana-mana.

Setiap monitor ini berukuran 17.3-inci, menggunakan paparan IGZO dan beresolusi tinggi 4K. Ia juga dilengkapi teknologi NVIDIA G-SYNC untuk memastikan paparan yang sentiasa lancar. Dengan tiga monitor ini, ia boleh membentuk paparan 180-darjah menggunakan bantuan NVIDIA Surround View.

razer-project-valerie-pandangan-sisi

Lebih menarik lagi, tiga monitor ini boleh disimpan dan dikeluarkan secara automatik, menggunakan mekanisma rekaan Razer. Dua monitor di sisi boleh disimpan di belakang monitor utama, dan keluar dengan mudah seterusnya mengunci kedudukan sendiri apabila diperlukan. Dengan ini, tiada lagi kabel atau persiapan remeh perlu dibuat untuk menggunakannya.

Project Valerie ini direka berasaskan konfigurasi Razer Blade Pro yang memiliki skrin 17-inci. Prestasi dan kuasa di dalamnya adalah yang tertinggi terdapat pada laptop masakini. Ia boleh digunakan bukan sahaja oleh peminat gaming, malah mereka yang memerlukan stesen kerja berkuasa tinggi yang mudah dibawa.

razer-project-valerie-selepas-dilipat

Razer mencipta Project Valerie dengan mengekalkan rekaan ikonik mereka. Ia menggunakan casis buatan aluminium unibodi, dengan ketebalan hanya 38mm dan berat kurang dari 5.4kg. Pembekal kuasanya juga direka lebih kecil dari sistem yang seumpamanya, menjadikan ia lebih mudah dibawa bergerak.

Sistem pengurusan habanya diuruskan oleh kipas yang direka khas, yang digandingkan dengan paip wap untuk pengaliran keluar haba paling maksima. Ia juga dibekalkan kekunci mekanikal ‘Ultra-Low Profile’ Razer. Malah, semua papan kekunci, trackpad dan monitor menggunakan sistem Razer Chroma, membolehkan kesan cahaya yang tiada had untuk diubahsuai pengguna.

razer-project-valerie-sistem-bukaan-automatik

Kuasa grafik Project Valerie diperoleh dari kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080, yang serasi digunakan bersama sistem realiti maya (VR) HTC Vive™ dan Oculus Rift. Ini membuatkannya sebuah sistem VR mudah alih paling berkuasa untuk digunakan.

Project Valerie masih dalam peringkat prototaip dan belum diketahui lagi bila ia akan dipasarkan. Tetapi, CEO Razer, Min Liang Tan menyatakan menerusi twitternya, beliau telah sekian lama menggunakannya. Mestilah, bos mesti boleh layan dulu.

Apa komen anda?