[CES2017] Legion nama baru laptop gaming Lenovo

Share Button

Lenovo mula menyertai ruang komputer khas untuk gaming melalui siri-Y. Kini di pameran CES 2017, Lenovo mengumumkan nama baru khusus untuk siri gaming mereka, dikenali sebagai Legion. Lenovo turut sama melancarkan dua laptop baru, Legion Y520 dan Legion Y720.

Legion Y520

Prestasi tinggi adalah kewajipan laptop gaming, kerana itu Legion Y520 menggunakan CPU Intel Core generasi ke-7 terbaru. Selain itu, Lenovo memilih pemproses grafik NVIDIA GeForce GTX 1050, cip terendah dalam keluarga GTX 10. Ia tidak boleh menjalankan permainan realiti maya (VR), tetapi mencukupi untuk permainan lain masakini.

Legion Y520 dilengkapi papankekunci berlampu merah, serta presicion trackpad. Sistem bunyinya dikendalikan dua pembesar suara berkuasa 2W dengan pengiktirafan Harman dan Dolby Audio premium. Paparannya berukuran 15.6-inci dari jenis IPS, dengan resolusi 1920×1080.

Hayat bateri bukanlah kelebihan laptop gaming, kerana itu Legion Y520 boleh bertahan sehingga 4 jam sahaja. Malah dengan berat 2.4kg dan ketebalan 25.8mm, ia bukannya pilihan untuk pengguna biasa.

Sambungan yang tersedia pada laptop ini adalah seperti USB-C, USB 3.0, HDMI, Audio 3.5mm, Gigabit LAN dan pembaca kad memori SD. Ia juga mempunyai sambungan WiFi 802.11ac dan Bluetooth 4.1.

Laptop Lenovo Legion Y520 akan mula berada di pasaran bermula Februari 2017, dengan harga jualan bermula dari USD899.99 (~RM4,043). Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman produk Lenovo Legion Y520.

 

Legion Y720

lenovo-ces2017-legion-y720-sisi-depan

Laptop ini lebih menepati definisi laptop gaming kerana Legion Y520 diperkasa kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060, yang berkemampuan menggerakkan kandungan VR. Ia juga menggunakan CPU Intel Core-i generasi ke-7, di samping storan dalaman hibrid untuk ruang yang luas dan pantas.

Sistem bunyi Dolby Atmos padanya, menjadikan Legion Y720 laptop pertama dilengkapi pembesar suara sebegini. Skrinnya seluas 15.6-inci, datang dengan pilihan resolusi HD Penuh 1920×1080 atau Ultra HD 3840×2160.

Laptop ini jauh lebih berat dari Legion Y520, bermula dari 3.2kg. Selain bateri yang besar, sistem penyejukan berkuasa tinggi yang mengambil banyak ruang menyumbang kepada beban berlebihan.

lenovo-ces2017-legion-y720-dengan-set-kepala-vr

Sambungan yang terdapat di Legion Y720 lebih maju, dilengkapi USB 3.0, Thunderbolt 3, HDMI, Display Port, Audio 3.5mm dan Gigabit LAN. Sambungan wayarles pula menyediakan WiFi 802.11ac dan Bluetooth 4.1.

Lenovo akan mula menjual Legion Y720 sekitar April 2017, dengan harga bermula dari USD1,399.99 (~RM6,292). Lebih banyak info terdapat di laman produk Lenovo Legion Y720.

Apa komen anda?