8 pasukan terhebat DOTA 2 berentap di ESL One Genting

Share Button

Salah satu perlawanan paling berprestij di arena eSukan, adalah pertandingan ESL One. Pertandingan berperingkat antarabangsa ini akan memulakan jelajah tahun 2017, dengan tempat persinggahan pertama bermula di Arena of Stars, Resort World Genting, Malaysia.

Sepanjang 3 hari bermula dari 6 hingga 8 Januari 2017, Arena of Stars akan menghimpunkan 8 pasukan terbaik Dota 2 dari seluruh dunia iaitu Fnatic, Digital Chaos, Wings Gaming, Team NP, Virtus.pro, Exercration, Newbee, serta pasukan dari Malaysia, WarriorsGaming Unity.

esl-one-genting-2017-8-pasukan

Pertandingan ini ditaja oleh Resorts World Genting, bersama Microsoft dan Lenovo, serta MSI, Digi, Nvidia dan Mineski Events team (M.E.T). Microsoft akan menyediakan sistem operasi untuk semua komputer yang terdapat di pertandingan, manakala Lenovo akan menyediakan sistem komputer. Kesemua komputer ini akan dikuasakan oleh pemproses grafik Nvidia GeForce GTX1070 yang berhubung dengan monitor G-SYNC.

Untuk masuk menonton pertandingan ini secara langsung, pengunjung perlu mendapatkan tiket terlebih dahulu yang dijual melalui laman tiket ESL One Genting 2017. Tiga jenis tiket dijual tetapi tiket Regular telah kehabisan. Dua lagi tiket iaitu Plus dan VIP masih boleh dibeli, yang memberi lebih banyak kelebihan berbanding tiket Regular, seperti beg cenderahati eksklusif serta makanan dan minuman. Nvidia juga menyatakan, pemegang tiket pertandingan ESL One Genting 2017 boleh mendapatkan kad grafik GeForce GTX 10 series keluaran MSI dan Zotac, pada harga istimewa.

esl-one-genting-2017-nvidia-geforce-gtx-game-ready

Selain itu, NVIDIA turut mengadakan acara tontonan khas di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada 6 Januari ini dari jam 2 petang sehingga 7 malam. Ia akan menampilkan pengacara DOTA 2 popular, Xyclopz an Lysander serta hos TV dan pencipta kandungan kreatif, PindaPanda. Jika berminat untuk menyertai acara NVIDIA ini, boleh mendaftar di sini.

Jangan terlepas peluang untuk menyaksikan kehangatan pertandingan DOTA 2, ESL One Genting 2017 yang diadakan di Malaysia sendiri. Maklumat lanjut tentang pertandingan boleh didapati di laman web ESL One Genting 2017.

Apa komen anda?