Prabayar Mana Berikan Tempoh Sah Terpanjang?

Share Button

Ada beberapa sebab pengguna lebih menggemari prabayar berbanding pascabayar. Salah satu daripadanya adalah mereka tidak mahu terlibat dengan kontrak yang panjang, selalunya melebihi setahun. Pelancong yang hanya melawat sesebuah negara untuk beberapa hari sudah pasti akan membeli prabayar. Selain itu, proses pendaftaran yang lebih mudah menjadi punca orang membeli prabayar selain jenis tawaran yang berbeza, kadang kala lebih menarik, berbanding pascabayar.

Tempoh sah kredit dalam akaun prabayar adalah penting kerana pengguna membuat panggilan keluar atau masuk diluar tempoh sah. Kebanyakkan penyedia perkhidmatan memberi tempoh sah kredit selari dengan nilai tambah nilai. Tetapi, ada penyedia yang menyediakan perkhidmatan memanjangkan tempoh sah kredit untuk kemudahan penggunanya.

Ia amat bermanfaat untuk golongan yang jarang menambah nilai akaun mereka seperti dalam kes pelajar sekolah. Golongan ini jarang membuat panggilan keluar masuk kerana mereka boleh berbuat demikian ketika berada di rumah. Tetapi, telefon masih perlu aktif untuk menerima panggilan daripada ibu bapa. Jika pengguna terus menambah nilai akaun mereka hanya untuk kekal aktif, tetapi tidak menggunakan kredit tersebut, ia akan terbazir bergitu sahaja.

Pelajar yang keluar negara untuk menyambung pelajaran juga beroleh manfaat daripada produk yang memanjangkan tempoh sah kredit kerana tidak perlu memantau akaun  mereka secara berterusan hanya untuk menyimpan nombor tersebut. Jika tak, setiap kali pulang ke tanah air, kad SIM baru perlu dibeli.

Mari kita lihat hal tentang tempoh sah kredit daripada lapan jenis penyedia berikut.


1. Altel

161214-altel-long-life-validity

Altel Three Six Five adalah perkhidmatan yang disediakan Altel untuk memanjangkan tempoh aktif akaun. Pengguna hanya perlu menambah nilai sekurang-kurangnya RM30 kedalam akaun mereka dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh mereka melanggan perkhidmatan Altel untuk melayakkan mereka menggunakan Altel Three Six Five secara percuma.

Lebih menarik, pengguna baru juga boleh menikmati tempoh sah 365 hari secara percuma hanya dengan terus menambah nilai RM 50 sejurus mengaktifkan akaun Altel mereka atau melakukan tambah nilai itu dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pengaktifan. Untuk pengguna sedia ada, harga untuk untuk melanggan Altel Three Six Five adalah RM 28.

Maklumat lanjut tentang tempoh aktif akaun Altel.


2. Digi Prepaid

161214-digi-best-prepaid

Digi kini mempunyai dua jenis pelan prepaid iaitu Digi Prepaid Live dan Digi Prepaid BEST. Walau bagaimanapun, cuma pengguna Digi Prepaid Best boleh menikmati fungsi Super Long Life.

Super Long Life akan memanjangkan tempoh aktif akaun sehingga 365 hari pada harga RM 68. Selain 365 hari, ada juga pilihan untuk melanggan Super Long Life 1 Hari untuk RM 1 atau Super Long Life 30 Hari untuk RM 8. Bukan sahaja akaun aktif selama setahun, Digi turut memberikan Internet asas untuk digunakan pada aplikasi permesejan seperti Whatsapp.

Maklumat lanjut tentang tempoh aktif akaun Digi.


3. Hotlink FAST

161214-hotlink-fast

Untuk pelan Hotlink FAST, perkhidmatan Validity 365 sudah tak lagi ditawarkan tetapi digantikan dengan data percuma untuk hujung minggu. Jika anda menggunakan salah satu daripada enam pelan Hotlink berikut; Extra Plan, Basic Plan, Hotlink Plan 3.0, Hotlink Plan 3.0 Sabah/Sarawak, Hotlink Plan 3.0 Kelantan/Terengganu, dan Social Edition Plan, anda boleh menikmati Validity 365 pada harga RM33.

Tempoh sah kredit Hotlink bergantung kepada nilai tambah nilai anda, iaitu RM1 per hari dan tempoh sah kredit mengikut tambah nilai paling besar. Misalnya, jika hari ini anda menambah RM10 dan esok RM5, tempoh sah adalah 10 hari dan dikira bermula tarikh tambah nilai RM10. Tetapi jika hari ini anda menambah nilai RM10 dan esok RM50, tempoh sah adalah 50 hari dan bermula pada hari anda tambah nilai RM50. Tambah nilai paling besar boleh dibuat adalah RM100, bermakna paling lama untuk aktif adalah 100 hari.

Maklumat lanjut tentang tempoh aktif akaun Hotlink FAST.


 4. ONEXOX

161214-onexox-prepaid

ONEXOX adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang patuh shariah dalam senarai ini. Ia mempunyai sistem pengiraan tempoh sah kredit yang lain daripada lain. Tempoh sah akaun akan terkumpul setiap kali anda membuat tambah nilai. Contohnya, pada satu hari anda menambah nilai beberapa kali, tempoh sah akan bertindan dan boleh melebihi setahun.

Contohnya hari ini anda menambah nilai RM30, 5 hari kemudian anda menambah nilai lagi RM30, anda akan mendapat masa aktif dicampurkan, iaitu selama 60 hari dari tambah nilai pertama. Tambah nilai beberapa kali, tempoh sah akan bertindan dan boleh membawa sehingga 368 hari.

161214-onexox-validity

Satu lagi cara untuk beroleh tempoh sah kredit yang panjang adalah dengan menggunakan servis Mobile Number Portabiliti (MNP). Ia adalah servis bertukar penyedia tetapi masih mengekalkan nombor yang sedia ada. Melalui proses pertukaran yang percuma, pengguna akan menerima tempoh sah kredit 28 bulan selepas MNP masuk mereka ke ONEXOX berjaya.

Maklumat lanjut tentang tempoh sah ONEXOX.


5. redONE

161214-redone-prepaid

RedONE mengambil pendekatan pukul rata terhadap tempoh sah tambah nilai mereka. Kesemua denominasi memberikan tempoh sah selama 30 hari. Hal ini bermakna, tambah nilai RM 10 akan memberikan tepoh sah 30 hari dan ia tidak bertindan dan dikira daripada tarikh tambah nilai terbaru.

Maklumat lanjut tentang tempoh sah redONE.


6. Tune Talk

161214-tunetalk-long-validityy

Tune Talk, subsidiari Tune Group yang menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dalam kelas MVNO ada menyediakan produk memanjangkan tempoh sah kredit sehingga setahun pada RM28. Pengguna hanya perlu memiliki sekurang-kurangnya RM 33 kredit sebelum melanggan perkhidmatan ini. Pengiraan tempoh sah yang diamalkan Tune Talk adalah mengikut tambah nilai yang terbesar.

Terdapat satu cara lagi, iaitu melanggan pelan data tahunan mereka. Dengan RM288, pengguna akan menerima 36GB data yang boleh digunakan dalam masa 365 hari. Pengguna perlu memiliki kredit minima RM289 untuk melanggan pelan ini.

Maklumat lanjut tentang tempoh sah Tune Talk.


7. U Mobile

161214-umobile-power-prepaid

U Mobile juga tidak lagi menyediakan perkhidmatan memanjangkan hayat kredit seperti yang ada pada perkhidmatan Validity 365 ataupun 2X daripada nilai topup. Pengguna pelan Power Prepaid hanya menerima 1 hari tempoh sah bagi setiap RM 1 tambah nilai.

Tempoh sah akan mengikut tempoh sah yang paling panjang. Misalnya pada hari ini anda tambah nilai RM30, anda akan menerima 30 hari tempoh sah. Jika anda menambah nilai RM10 pada keesokannya, tempoh sah anda akan dikira daripada hari anda tambah nilai RM30. Tetapi, jika anda menambah nilai RM50 selepas anda tambah nilai RM30, tempoh sah akan bermula pada masa anda tambah nilai RM50.

Maklumat lanjut tentang tempoh sah U Mobile.


8. Xpax Turbo

161214-celcom-xpax-turbo

Tempoh sah Celcom juga dikira daripada nilai terbesar tambah nilai, sama seperti Hotlink dan anda tidak boleh menambah nilai RM365 terus untuk beroleh tempoh aktif setahun kerana tambah nilai terbesar yang dijual hanyalah RM200. Apa yang anda boleh buat adalah tambah nilai seperti biasa kerana Celcom tidak lagi menyediakan perkhidmatan untuk panjangkan tempoh sah sehingga setahun.

Maklumat lanjut tentang tempoh sah Xpax.


KESIMPULAN

Altel, Digi, dan Tune Talk adalah tiga penyedia yang memberikan perkhidmatan untuk memanjangkan tempoh sah kredit sehingga 365 dengan bayaran tertentu. Walau bagaimanapun, cuma Digi memberikan Internet asas percuma kepada pelanggannya. Jika anda mencari satu kad SIM untuk anak-anak yang masih bersekolah dan tidak mahu risau tentang tempoh sah, Digi ada penyelesaiannya.

Pada RM28, Altel dan Tune Talk berkongsi tempat sebagai penyedia produk memanjangkan tempoh sah kredit paling murah.

ONEXOX pula mengira tempoh sah kredit berlainan daripada tujuh penyedia yang lain dalam senarai ini. Sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan patuh syariah dalam senarai, pengguna menerima tempoh sah selari dengan nilai tambah nilai, tidak kira bila mereka tambah nilai.

Hotllink, Xpax, dan U Mobile masing-masing pernah memberikan perkhidmatan itu tetapi telah menamatkannya atas sebab-sebab tertentu. Mereka lebih fokus terhadap penyediaan data banyak yang sudah tentu menarik minat pengguna kebanyakkan.

Comments

  1. AbgLang

    ONEXOX memberi tempoh masa asas 28 bulan (850 hari) jika kota beli sim RM10 dan terus reload RM10.
    SELEPAS itu, setiap topup.. akan menambahkan tempoh masa..

    Ada yang dah lebih 5 tahun tempoh masa tu..

  2. mdnot

    Salam sejahtera admin. Untuk makluman pihak tuan, mengenai tempoh sah 28 bulan pra bayar onexox tidak terhad kepada MNP sahaja. Pendaftaran nombor baru juga boleh mendapatkan keistimewaan tempoh sah tersebut dengan cara membuat tambah nilai sebanyak RM50 di dalam 1 transaksi (tempoh kelayakan adalah dalam masa 30 hari selepas sim diaktifkan). Pada waktu ini Onexox menawarkan tempoh promosi bagi pengguna baru. Setiap pengaktifan nombor baru berserta tambah nilai sebanyak RM10 dalam masa 24 jam selepas pengaktifan kad layak untuk menikmati tempoh sah selama 28 tersebut.

    Sekiranya ada yang berminat untuk menggunakan talian pra bayar Onexox boleh juga hubungi saya di talian berikut:
    011 2075 1610 @
    013 4294 915

    Terima kasih.

Apa komen anda?