Pencetak 3-Dimensi penentu masa depan dunia

Share Button

Mungkin ia dilihat seperti alatan untuk menghasilkan barangan seperti permainan tapi percayalah, pencetak 3 Dimensi (3D) bakal menjadi salah satu perkara penting untuk dunia di masa depan. Walaupun kini ia hanya menghasilkan barangan ala prototaip, tetapi tidak berapa lama lagi, ia boleh digunakan untuk menghasilkan barangan sebenar dari dalam rumah sendiri.

Para pereka dan pencipta di seluruh dunia telah menghasilkan bermacam-macam rekaan produk 3D, terutama sekali dengan menggunakan perisian bantuan komputer (CAD) seperti AutoCAD dari Autodesk. Peringkat seterusnya, ia perlu dimaterialisasikan untuk diuji penggunaan. Malangnya, bukan mudah untuk menjadikan bentuk fizikal dari rekaan digital, hinggalah tibanya pencetak 3D.

autodesk-tokyo-design-week-2016-pencetak-3d-ember-bersama-dakwatPencetak 3D – Autodesk Ember

Dengan bantuan pencetak 3D yang kini boleh dimuatkan di dalam bilik tidur, ia telah mempercepatkan proses penghasilan yang bermula dari idea, ke meja rekaan dan seterusnya penghasilan prototaip fizikal. Bermakna, penghasilan produk sebenar juga boleh dicapai dengan lebih pantas.

Beberapa jenama telah menggunakan kepakaran Autodesk bukan sahaja dari segi perisian rekaannya, malah penggunaan pencetak 3D yang mereka miliki, iaitu Ember. Autodesk sendiri telah memperlihatkan rekaan menerusi pameran Tokyo Design Week, yang bukan sahaja telah dihasilkan prototaipnya, malah telah pun berada di pasaran.

Penciptaan kasut Under Armour dengan rekaan kompleks telahpun dihasilkan dan dijual dalam unit terhad. Tidak ketinggalan, pencipta kenderaan Mercedes menunjukkan kenderaan prototaip Biome, yang bersebati dengan alam persekitaran menerusi teknologi mesra alamnya.

autodesk-tokyo-design-week-2016-pameran-dalam-rekaan-kasut-under-armourPameran Tokyo Design Week – Kasut Under Armour

autodesk-tokyo-design-week-2016-pameran-dalam-kereta-konsep-mercedesPameran Tokyo Design Week – Prototaip Mercedes Biome

autodesk-tokyo-design-week-2016-pameran-dalam-rekaan-smoke-dressPameran Tokyo Design Week – Smoke Dress

Bahagian fesyen turut tidak ketingalan mengetengahkan rekaan radikal yang dihasilkan Anouk Wipprecht. Pakaian ‘Smoke Dress’ yang berasap merupakan contoh idea yang berjaya dibentuk fizikalnya dengan bantuan pencetak 3D. Tetapi penggunaan pencetak 3D tidak terhad kepada penghasilan prototaip sahaja.

Dalam dunia perubatan, pencetak 3D boleh membantu doktor untuk menganalisa pesakit dengan lebih tepat. Ia dilakukan menerusi penghasilan semula organ dalaman pesakit, secara tepat menggunakan bantuan perisian rekaan serta pencetak 3D.

Ketepatan reka bentuk organ ini boleh dicapai dengan kemampuan pencetak 3D yang boleh menggabungkan pelbagai elemen pepejal dan cecair, memberikannya rasa organ yang sebenar. Dengan kemajuan teknologi ini, doktor boleh menyediakan diri dengan lebih berkesan sebelum mula membuat pembedahan sebenar di badan pesakit.

autodesk-tokyo-design-week-2016-model-organ-dalaman-manusiaRekaan organ dalaman dihasilkan dengan pencetak 3D

Penggunaan pencetak 3D ini boleh dilanjutkan lagi dengan penghasilan organ palsu yang direka khas untuk individu. Pesakit yang kehilangan jari, malah tangan atau kaki boleh mendapatkan alat bantuan palsu yang direka khas untuk mereka.

Dengan kemajuan teknologi pencetak 3D di masa akan datang, dunia akan menyaksikan lebih banyak idea direalisasikan dengan pantas bersama bantuan perisian rekaan. Kerana itu, ia pasti akan menjadi salah satu peralatan penting bagi dunia masa depan.

Apa pula yang akan anda hasilkan dengan pencetak 3D?

Apa komen anda?