Pascabayar Digi dibekalkan data tanpa had hujung minggu

Share Button

Ingatkan dah nak hujung tahun ni semua simpan senapang buat gencatan senjata, tapi tidak untuk Digi. Perang data diteruskan oleh Digi dengan pengenalan data tanpa had di hujung minggu. Mungkin ini adalah serangan balas Digi untuk tawaran tanpa had webe.

Pelan pascabayar Digi Postpaid 110 memberikan pengguna 25GB data hari biasa, panggilan tanpa had dan kini datang bersama data 4G tanpa had di hujung minggu. Sebelum ini, ia hanya memberikan 20GB hari biasa, 20GB data 4G hujung minggu dan panggilan tanpa had. Tetapi ia masih kekal dengan data boleh bawa ke depan sehingga 3GB, serta 1,000 SMS untuk digunakan setiap bulan.

digi-postpaid-110-dengan-internet-4g-hujung-minggu-tanpa-had

Tetapi, anda harus berhati-hati dengan terma tanpa had oleh Digi. Ini kerana Digi telah banyak kali menggunakan terma tanpa had, tetapi sebenarnya ada had kuota padanya. Seperti pelan pascabayar sebelum ini yang dikatakan menerima internet burung hantu tanpa had, sebenarnya ia dihadkan sebanyak 15GB. Begitu juga apabila Digi memperkenalkan strim video percuma tanpa had, tetapi ia dihadkan pula sebanyak 10GB sebulan.

Apabila dihubungi, Digi memaklumkan tawaran terbaru Digi Postpaid 110 dengan data hujung minggu tanpa had, sebenarnya mempunyai had sebanyak 100GB sebulan. Ia sememangnya sangat banyak, tetapi tidak menepati istilah ‘tanpa had’ yang sebenar.

Ambil perhatian juga, data hujung minggu tanpa had ini hanya untuk kegunaan di rangkaian 4G. Jika bersambung ke rangkaian 3G atau tiada liputan 4G, maka ia akan menggunakan data bulanan biasa.

digi-postpaid-long-live-weekend-roam-like-home

Digi juga meluaskan capaian perayauan sempadan atau Border Roaming kini ke 5 negara. Selain Singapura (StarHub), ia kini meliputi Brunei (DST), Indonesia (Indosat), Myanmar (Telenor) dan Thailand (DTAC/DTN). Caj bulanan Digi Border Roaming adalah RM30 sebulan, dan disertakan 5GB data bersama 60 minit panggilan. Pengguna Digi Postpaid 110 tidak perlu membayar apa-apa untuk menggunakan Digi Border Roaming, dan ia dicaj RM5 sebulan untuk pengguna Digi Postpaid 80.

Untuk maklumat lanjut tentang tawaran terbaru Digi ini, layari laman web Pascabayar Digi.

[SUMBER: SoyaCincau]

Trackbacks

  1. […] Digi mengemas kini pelan pascabayar mereka apabila menaik taraf perkhidmatan penstriman multimedia kepada tanpa had pada hujung minggu, […]

Apa komen anda?