HMD Global tampil dengan telefon pertamanya, Nokia 150

Share Button

Tidak lama sebelum ini, HMD Global telah mengumumkan jenama Nokia akan kembali ke pasaran tahun depan dengan telefon pintar berasaskan Android. Tetapi sebelum berakhirnya tahun 2016, HMD Global mengumumkan satu telefon pintar baru, Nokia 150.

Telefon Nokia 150 ini bukanlah dalam kategori telefon pintar, sebaliknya ia adalah telefon mudahalih biasa yang direka tahan lasak dengan bateri tahan lama, mengikut jejak telefon Nokia yang popular sebelum ini seperti Nokia 105, Nokia 216 dan Nokia 230.

nokia-150-hmd-satu-dan-dua-sim

Dibaluti plastik polikarbonat keras yang menjadi tanda ketahanan telefon Nokia, ia akan tampil dengan versi satu atau dwi-sim. Skrinnya berukuran 2.4-inci dengan resolusi QVGA (320×240), menggunakan antaramuka dan papan kekunci Nokia yang mesra pengguna.

Nokia 150 datang bersama keupayaan multimedia seperti radio FM dan pemain MP3. Selain itu, ia juga disertakan permainan Snake Xenzia serta Nitro Racing demo keluaran Gameloft. Telefon ini menggunakan sistem operasi Nokia Series 30+.

nokia-150-hmd-hitam-putih-depan

Bateri berkapasiri 1,020mAh boleh tukar dimuatkan ke dalam Nokia 150. Ia dijangka mampu bertahan sehingga 25 hari masa bersedia untuk versi dwi-sim, atau sehingga 31 hari masa bersedia untuk versi sim tunggal. Bagaimanapun, ia hanya menyokong rangkaian GSM sahaja.

Telefon Nokia 150 ini akan dijual pada harga USD26 (~RM116), dijangka tiba di pasaran Asia Pasifik, India, Timur Tengah, Afrika dan Eropah sekitar suku pertama 2017. Jika anda menantikan telefon pintar Nokia berasaskan Android, ia dijangka akan diumumkan seawal Februari 2017.

Untuk maklumat lanjut, rujuk laman web Nokia 150.

[SUMBER: HMD Global]

Trackbacks

  1. […] kata, Nokia 3310 ini tidak ubah seperti Nokia 150, sebuah telefon biasa tetapi memiliki rupa dan fungsi Nokia 3310 asal yang menjadi kegilaan ramai. […]

Apa komen anda?