Fasa pertama MRT SBK dibuka – Pengalaman menaiki MRT di Kuala Lumpur

Share Button

Fasa pertama Transit Aliran Massa atau Mass Rapid Transit (MRT) Kuala Lumpur laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) telah mula beroperasi hari ini. Fasa pertama yang dibuka ini dari stesen Sungai Buloh sehingga stesen Semantan sahaja. Sebagai pengguna tegar pengangkutan awam di Malaysia, dengan pantas saya pergi mencubanya sendiri. Apatah lagi, MRT tidak akan mengenakan caj selama sebulan, sehingga 16 Januari 2017.

Kesukaran pertama yang ditempuhi adalah tiada sambungan dengan aliran tren yang sedia ada di Kuala Lumpur, melainkan di stesen Sungai Buloh, yang berhubung dengan stesen Komuter Sungai Buloh. Selain ini, pengguna tiada pilihan untuk berjalan kaki dari aliran lain, melainkan dengan menaiki bas pengantara (Feeder Bus). Tambang bas pengantara ialah RM1 sahaja. Rujuk perjalanan bas pengantara dan stesen berkaitan di sini.

fasa-pertama-mrt-dibuka-bas-pengantara-02

Dari KL Sentral, selepas turun dari LRT aliran Kelana Jaya, saya menghampiri kaunter pertanyaan yang terletak di tengah-tengah KL Sentral untuk bertanyakan tempat menunggu bas pengantara MRT. Ia terletak di pintu keluar menghala ke Hotel Hilton & Le Meridien, sama dengan tempat menunggu bas GO KL dan juga KL Hop On Hop Off. 5 minit menunggu, dan bas T819 pun tiba. Masa ketibaan bas pengantara ini dinyatakan sekitar 10 ke 15 minit.

Seperti kebanyakan stesen baru tren aliran Kelana Jaya, stesen MRT ini semuanya dibina bertingkat. Ia terletak tinggi di atas. Jika eskalator rosak, memang berpeluh kalau nak naik tangga. Tapi masih ada lif untuk digunakan.

fasa-pertama-mrt-dibuka-tren-menuju-stesen-ttdi

Mesin pembayaran di stesen MRT nampaknya lebih canggih dari yang ada di LRT. Ia menyokong tambah nilai dan memeriksa baki Touch n Go, yang mana tidak terdapat pada stesen LRT sekarang. Tetapi akan adakah caj tambahan? Ini kena tunggu bila MRT mula mengenakan bayaran.

Berapakah caj perjalanan MRT? Jika anda keluar dan masuk dari stesen yang sama, cajnya ialah RM0.80. Tambang ke stesen sebelah ialah RM1,20 dan dari stesen Semantan hingga ke Sungai Buloh pula, caj tunai ialah RM3.90 dan caj Touch n Go pula RM3.40. Senarai penuh caj ini boleh dirujuk di bahagian bawah sekali.

fasa-pertama-mrt-dibuka-laluan-keluar-masuk-01

Lain-lain perkara tentang stesen MRT kelihatan sama seperti di stesen LRT. Sentuh kad Touch n Go atau token pada pembaca kad, dan penghadang akan dibuka. Perkara yang sama juga bila keluar, tetapi memandangkan ia percuma, tidak perlu sebarang kad atau token buat masa ini.

fasa-pertama-mrt-dibuka-platform-bergabung-dengan-peta-01

Terdapat dua jenis platform di stesen MRT. Platform bergabung, atau platform berasingan. Jika platform bergabung, tidak perlu risau arah tren. Naik ke platform baru periksa di sebelah mana tren yang perlu dinaiki. Tetapi jika platform berasingan, semak dahulu arah tren kemudian naik menggunakan tangga atau escalator yang disediakan. Ia sama sahaja seperti di stesen LRT.

Satu tambahan baru adalah terdapatnya pintu penghadang antara platform dan tren. Ini lebih selamat berbanding platform terbuka. Selain itu, terdapat juga butang kecemasan di dalam tren dan di atas platform. Jika ada apa-apa berlaku seperti ada orang terjatuh ke atas rel, maka butang kecemasan ini boleh digunakan. Tetapi jangan salahgunakannya, atau denda akan dikenakan.

fasa-pertama-mrt-dibuka-butang-panggilan-kecemasan-di-platform-01

Selain itu, skrin LCD di platform memberikan lebih maklumat. Berbanding waktu tren yang akan tiba sahaja, skrin LCD di platform MRT memaparkan sehingga 3 tren yang akan datang. Sedikit sebanyak, pengguna boleh merancang tren yang mana mereka mahu naiki, tidak semestinya tren paling pantas tiba sahaja.

fasa-pertama-mrt-dibuka-monitor-lcd-sehingga-3-tren-akan-datang-01

Perkara yang paling menarik saya lihat terdapat di dalam tren MRT, adalah skrin maklumat interaktif. Di atas pintu kedua-dua belah sisi tren, terdapat skrin yang memaparkan arah perjalanan tren, lokasi stesen semasa dan banyak lagi maklumat lain. Malah, ia juga menyatakan sisi mana pintu akan dibuka.

Ini amat berguna, terutama sekali jika anda tertidur dan tiba-tiba terjaga. Rujuk sahaja skrin di mana lokasi anda sekarang. Satu lagi, tidak perlu lagi menjenguk keluar untuk melihat tren berhenti di stesen mana.

fasa-pertama-mrt-dibuka-skrin-lcd-di-dalam-tren-01 fasa-pertama-mrt-dibuka-pengumuman-skrin-keluar-01

Kemudahan golongan OKU juga dilihat lengkap di semua stesen. Bermula dari lif, terdapat juga tanda jalan berwarna kuning untuk mereka yang kurang upaya penglihatan dan bertongkat. Di dalam tren, terdapat ruangan khas untuk kerusi roda. Ia adalah standard yang sedia terdapat di stesen LRT juga.

fasa-pertama-mrt-dibuka-ruang-kerusi-roda-01

Pengalaman pertama menaiki MRT ini tidaklah terlalu mengujakan. Cuma, gerabak MRT dilihat lebih lebar, memberikan rasa yang sangat luas. Menurut MRT Malaysia, satu gerabak MRT boleh memuatkan sehingga 300 penumpang. Malangnya, ia hanya memiliki maksima 4 gerabak sahaja setiap perjalanan. Tiada ruang untuk tambahan gerabak, kerana platform yang dibina hanya untuk 4 gerabak maksima.

fasa-pertama-mrt-dibuka-suasana-di-dalam-tren

Kerusi di dalam tren diperbuat dari plastik sepenuhnya. Ia tidaklah selesa sangat, cukup untuk melepaskan penat dan lelah, atau lenguh sebab lama berdiri. Cuma, terdapat beberapa warna kerusi yang berbeza, seperti merah jambu yang dikhususkan untuk ibu mengandung.

fasa-pertama-mrt-dibuka-pintu-mrt-01

Pergerakan tren MRT dirasakan sama seperti kelajuan LRT. Dinyatakan, perjalanan dari stesen Semantan ke stesen paling hujung Sungai Buloh sejauh 21km, mengambil masa selama 30 minit. Malangnya, pengalaman pertama menaiki MRT tadi terlalu banyak masalah. Tren beberapa kali berhenti dan tidak bergerak sehingga 15 minit lamanya.

Kepada yang mahu mencuba semasa tempoh percuma ini, jaga-jaga dengan masalah sepanjang masa ini. Ia sepatutnya selesai sebelum tambang mula dikenakan nanti. Jangan lupa buat aduan kepada @MRTMalaysia atau @MyRapidKL terhadap sebarang masalah yang ditemui.

fasa-pertama-mrt-dibuka-pandangan-cermin-hadapan-01

Kesimpulannya, MRT ini dilihat bukanlah sejenis pengangkutan awam yang baru. Ia tidak banyak berbeza dengan LRT sedia ada, tetapi ditambah dengan beberapa fungsi yang lebih memudahkan pengguna. Paling utama, ia kini menghubungkan lebih banyak kawasan di dalam Kuala Lumpur, menjadikan perjalanan lebih pantas dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

fasa-pertama-mrt-dibuka-keluar-stesen-bandar-utama

Sebulan promosi percuma sehingga 16 Januari 2017, adalah masa terbaik warga KL untuk mengenali stesen MRT dengan segala kemudahan yang disediakannya. Tapi bersedialah jika terdapat masalah, jangan lupa untuk membuat aduan. Kaunter Perkhidmatan Pelanggan di setiap stesen sentiasa sedia membantu.

fasa-pertama-mrt-dibuka-pusat-perkhidmatan-pelanggan-01

Oh, satu perkara menarik yang ditemui tadi, kedai serbaneka MyNews.com membuat promosi khas sehingga 21 Disember 2016. MyNews.com menjual sebotol Coca-cola 500ml hanya RM1, serta Cloud9 Crispies RM1 juga. Manakala pembelian mana-mana botol air Seasons, akan menerima setin Seasons perisa Apple. Kedai MyNews.com terdapat di stesen MRT Kota Damansara, Bandar Utama, Mutiara Damansara dan Kampung Selamat.

Untuk maklumat lanjut tentang MRT SBK ini, rujuk laman web MRT Malaysia atau laman web My Rapid.

Tambang Tunai & Touch n GO MRT SBK (Sungai Buloh – Semantan)tambang-mrt-fasa-pertama-semantan-sungai-buloh-20161216-semua

Laluan Bas Pengantara, Stesen MRT dan destinasifasa-pertama-mrt-dibuka-laluan-bas-pengantara-01

Comments

Trackbacks

  1. […] Baca pengalaman kami menaiki MRT tempoh hari. […]

Apa komen anda?