Ericsson dan UTM tubuh Pusat Inovasi 5G (IC5G) di Malaysia

Share Button

Teknologi rangkaian mudahalih 4G sudah hampir mencapai tahap matang, dan kini ia mula memasuki fasa 5G. Ericsson dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah membuka Pusat Inovasi 5G (IC5G) yang terletak di Kuala Lumpur.

Ia merupakan kemudahan pertama seumpamanya di Malaysia, dan turut diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Pusat Inovasi ini terletak di Kampus UTM Kuala Lumpur di bangunan seluas 280 meter persegi.

utm-ericsson-lancar-pusat-ic5g-pelancaran-02

IC5G memaparkan inovasi 5G, makmal penyelidikan 5G dan ruang pembelajaran 5G, yang dijangka membawa manfaat kepada kira-kira 2,000 pelajar dari berbagai institusi dan industri di Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Pembukaan pusat IC5G ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh. Ia turut dihadiri Ketua Ericsson Malaysia, Todd Ashton serta Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar.

utm-ericsson-lancar-pusat-ic5g-perjanjian-dimeterai

Rangkaian 5G akan menjadi tunjang kepada masyarakat berhubung. Ia bakal membawa pasaran baru terutama sekali dengan perkembangan aplikasi Internet Barangan atau Internet of Things (IoT). Keupayaan baru 5G merangkumi pelbagai dimensi, termasuk kadar data yang sangat tinggi, tahap kependaman sangat rendah, tahap kebolehpercayaan amat tinggi, penjimatan tenaga dan kepadatan peranti ekstrem.

Pusat IC5G ini akan mempunyai tiga fungsi utama:

  • Pameran inovasi 5G: Ericsson dan UTM akan memaparkan 18 demonstrasi, termasuk transformasi IoT, Realiti Imbuhan atau Augmented Reality (AR) dan 5G untuk industri.
  • Makmal penyelidikan 5G: Pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) UTM dan Ericsson akan menumpukan kajian mereka kepada empat bidang utama: Kajian penyebaran, kajian antena, komunikasi tanpa wayar, kajian rangkaian dan perlindungan, kajian kelestarian dan keselamatan. Pasukan R&D terdiri daripada wakil dari UTM, Ericsson Malaysia dan Ericsson R&D di Sweden.
  • Ruang pembelajaran 5G: Program pembelajaran jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang mengenai teknologi 5G dan selanjutnya ditawarkan oleh Ericsson dan UTM untuk peserta industri antarabangsa dan tempatan, dan juga institusi pengajian tinggi. Program dikendalikan oleh UTM dan pasukan Ericsson Learning Services. Program ini dijangka membawa manfaat kepada 2,000 pelajar dalam tempoh tiga tahun.

Apa komen anda?