Amazon Prime membawa The Grand Tour terus ke Malaysia

Share Button

Selepas Netflix melebarkan capaian TV Internetnya ke seluruh dunia, kini Amazon pula membuka pintu servis Prime Videonya. Seperti yang dikhabarkan sebelum ini, rakyat Malaysia kini boleh melanggan servis Amazon Prime Video, dan menonton rancangan The Grand Tour yang hangat diperkatakan sama waktu dengan Amerika Syarikat.

Langganan Amazon Prime Video juga agak rendah, hanya RM13.30 sebulan berbanding pelan Netflix paling murah, RM33 sebulan. Tetapi langganan Amazon Prime Video sebenarnya dicas dalam USD, iaitu USD2.99 (~RM13.30) dan hanya untuk 6 bulan pertama. Selepas itu, ia akan dicaj USD5.99 sebulan (~RM26.60). Jika RM lebih kukuh, mungkin ia akan lebih rendah.

Pengguna baru juga boleh mencuba servis Amazon Prime Video ini tanpa sebarang caj, selama 7-hari.

Bagaimanapun, kandungan di dalam Amazon Prime Video dilihat tidak sebanyak Netflix. Malah, kandungan iflix dirasakan lebih banyak dan menarik. Satu-satunya sebab utama yang menarik di Amazon Prime adalah siri eksklusif The Grand Tour, sebuah rancangan bual bicara tentang permotoran yang dihoskan oleh Jeremy Clarkson, Richard Hammond dan James May dari Top Gear. Jika anda peminat Top Gear sebelum ini, jangan lepaskan peluang untuk menonton The Grand Tour ini, khusus menerusi Amazon Prime Video sahaja.

Amazon Prime boleh ditonton menerusi pelayar di komputer, atau aplikasi mudahalih di Android dan iOS. Cuma, ia tidak serasi digunakan bersama ChromeCast terus dari peranti mudahalih. Satu cara untuk menonton di skrin besar TV LED menggunakan ChromeCast, adalah memasang plugin Cast di pelayar Chrome dan dipancarkan ke TV.

amazon-prime-di-malaysia-trivia-dalam-filem

Satu perkara menarik yang unik ketika menonton Amazon Prime, adalah maklumat yang dipaparkan. Ia akan menunjukkan biodata pelakon yang dilihat di skrin, serta beberapa info dan trivia berkenaan tayangan. Selain ini, pengguna juga boleh memuat turun kandungan terlebih dahulu, dan menontonnya tanpa memerlukan sambungan internet.

Berminat untuk menonton The Grand Tour, atau mahu melihat dulu koleksi video Amazon Prime? Langgan dulu secara percuma selama 7-hari menerusi laman web www.primevideo.com. Jika suka boleh terus biarkan, tapi hentikan langganan sebelum 7-hari jika kurang berminat.

[SUMBER: SoyaCincau]

koleksi-kandungan-di-amazon-prime-video-1200

Apa komen anda?