Tetikus gaming Logitech G102 Prodigy lebih mampu dimiliki

Share Button

Mahukan tetikus gaming yang tidak melampau mahal tapi masih seronok digunakan? Apa kata dapatkan tetikus Logitech G102, model terbaru dari siri Prodigy. Ia menampilkan rupa tetikus klasik, tetapi menggunakan enjin bertenaga dari Switzerland.

Sensor tetikus Logitech G102 Prodigy yang dihasilkan di Switzerland, merupakan enjin pengesan berkuasa tinggi, dengan pilihan ketepatan antara 200 DPI sehingga 6,000 DPI. Ketepatan DPI ini boleh diubah secara terus melalui butang khas di tetikus.

Respon USB sehingga 1,000 laporan sesaat, memastikan pergerakan dan klik pada tetikus terus terpapar di skrin tanpa lengah. Ketegangan butang antara kiri dan kanan yang lebih maju pula, memastikan tekanan butang yang lebih dirasai, sambil memberikan respon yang konsisten.

tetikus-logitech-g102-prodigy-gaming-sisi-tepi

Lampu yang terbina di dalam Logitech G102 Prodigy boleh diubah warna sehingga 16.8 juta pilihan, dengan tahap kecerahan yang turut boleh ditukar. Perubahan ini boleh dilakukan menerusi perisian Logitech Gaming Software (LGS).

Tetapan ini turut boleh disimpan di dalam memori yang terbina di dalam tetikus. Jadi pengguna boleh mencucuknya ke mana-mana komputer, dan mengubah tetapan dari dalam memori tetikus sahaja, tidak perlukan perisian LGS.

Tetikus Logitech G102 Prodigy akan mula dijual di Malaysia, sekitar bulan November ini pada harga yang disyorkan, RM98 termasuk GST dengan jaminan selama 2-tahun. Harga ini agak murah jika dibandingkan dengan kebanyakan tetikus gaming lain. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Logitech Gaming Malaysia.

tetikus-logitech-g102-prodigy-gaming-sisi-kiri tetikus-logitech-g102-prodigy-gaming-sisi-depan

Apa komen anda?