Rakyat Malaysia masih bersikap “tak apa” dengan isu keselamatan siber

Share Button

Norton baru mengeluarkan satu laporan tentang isu keselamatan siber dan salah satu perkara penting dalam laporan tersebut adalah, mangsa jenayah siber di Malaysia setahun yang lepas, masih kekal dengan kelakuan mereka yang tidak selamat. Sebagai contoh, kata laluan yang telah terjejas, masih terus digunakan hingga kini.

Perkara ini merupakan salah satu yang ditekankan dalam laporan Keselamatan Siber 2016, yang disediakan oleh Norton. Antara jenayah siber yang sering dihadapi pengguna di Malaysia adalah kecurian telefon pintar (24%), kata laluan terdedah (22%) dan pencerobohan akaun emel (21%).

Norton dengan kerjasama Edelman Intelligence telah membuat satu kaji selidik meliputi 20,907 pengguna peranti yang berumur 18 tahun ke atas, di lebih 21 negara. Di Malaysia, kajiselidik ini merangkumi 1,000 pengguna. Data ini dikumpulkan dari 14 September sehingga 4 Oktober 2016. Laporan penuh boleh di dapati dari pautan ini.

Lebih membimbangkan adalah kelakuan ‘tidak apa’ pengguna di Malaysia. Contohnya, 74% menyatakan mereka tahu kepentingan melindungi maklumat peribadi di internet, tetapi mereka masih berkongsi kata laluan dengan orang lain. Perkara ini lebih ketara di kalangan anak muda.

Pengguna di Malaysia juga kebanyakan memiliki lebih dari satu peranti pintar, tetapi 34% pengguna memiliki sekurangnya satu peranti yang tidak dilindungi, mendedahkannya kepada virus, malware, laman web merbahaya, serangan phishing serta ransomware yang kian berleluasa.

Semakin ramai yang sedar bahaya dalam talian kini sama dahsyat dengan bahaya di alam nyata. Beberapa perkara yang dikongsikan Norton tentang keselamatan siber di Malaysia adalah seperti:

  • 65% percaya menggunakan perkhidmatan perbankan dengan WiFi awam lebih merbahaya dari membaca nombor kad kredit/debit di khlayak ramai.
  • Hanya 39% menggunakan VPN ketika berhubung dengan WiFi awam.
  • 26% tidak mengenali emel phishing, masih ramai yang menekan pautan dari emel yang tidak dikenali.
  • 94% rakyat Malaysia menggunakan WiFi awam, tapi hanya 50% yang menyangka mereka tahu sambungan WiFi awam tersebut selamat atau tidak.
  • 27% pengguna tidak mengubah langsung kata laluan asal yang diberikan penyedia servis, ketika menetapkan sambungan WiFi mereka.
  • 54% pengguna di rumah percaya isi rumah mereka tidak berbaloi diserang penjenayah siber, tetapi 73% percaya penjenayah ini boleh mendapat keuntungan melalui sosial media dan akaun kewangan mereka.
  • 72% pengguna percaya peranti di rumah mereka direka dengan keselamatan, tetapi penyelidik Symantec telah menemui lebih 50 kelemahan di peranti rumah yang boleh bersambung ke internet.
  • 22% rakyat Malaysia mengenali seseorang yang pernah terkena jenayah siber, malah 6% mangsa telah mengalaminya sendiri.
  • 24% mangsa ransomware di Malaysia membuat bayaran untuk mendapatkan semula fail mereka, dengan 13% yang telah membayar, masih tidak mendapat semula fail mereka.

Seperti mana kita mengunci semua pintu dan tingkap apabila meninggalkan rumah untuk bercuti, begitu juga dengan data penting dan maklumat peribadi kita, tidak seharusnya dibiarkan berleluasa di internet. Kebanyakan masalah siber ini boleh diatasi, dengan menjalankan langkah-langkah keselamatan dari diri sendiri. Norton mencadangkan perkara seperti berikut untuk sentiasa diamalkan:

  • Elakkan kata laluan yang mudah, kunci keselamatan bermula dari sini. Gunakan kata laluan yang kuat dan unik, dengan gabungan sekurangnya 10 patah kata berhuruf besar dan kecil, simbol serta nombor. Ubah kata laluan setiap tiga bulan dan jangan mengguna semula kata laluan yang lama.
  • Jangan klik pautan yang mencurigakan. Fikir empat kali sebelum membuka mesej atau kepilan dari orang yang tidak dikenali dan mencurigakan. Mungkin emel itu dari kenalan tapi sentiasa kemaskini maklumat terbaru tentang penipuan emel sebegini.
  • Jangan biarkan WiFi anda terbuka untuk semua. Pastikan kata laluan WiFi diubah pada setiap peranti baru. Jangan biarkan ia menggunakan kata laluan asal, kerana ia mudah diduga sesiapa sahaja terutama penjenayah siber. Anda pasti tidak mahu orang lain memiliki akses ke CCTV rumah anda.
  • Sentiasa dalam kawalan di internet. Pastikan semua peranti dan perisian anda sentiasa dikemaskini. Lindunginya menerusi penyelesaian pelbagai platform seperti Norton Security.
  • Kenali WiFi awam dengan lebih mendalam. Paling mudah elak menggunakan WiFi awam atau sekurangnya, jangan lakukan perkara kritikal seperti transaksi kewangan melalui WiFi awam.
[SUMBER: Norton ISTR 2016]

Perbandingan isu keselamatan siber di Malaysia berbanding Antarabangsa

norton-symantec-icsr-2016-rumusan-laporan-malaysai-berbanding-antarabangsa

Apa komen anda?