NUR Alerts hantar amaran kehilangan kanak-kanak di Facebook

Share Button

NUR Alerts merupakan satu sistem yang digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghebahkan amaran awal tentang kes kehilangan kanak-kanak. Hari ini, Facebook mengumumkan penyertaan mereka sebagai ahli ke-36 ke dalam sistem NUR Alerts ini.

Dengan penyertaan ini, pengguna Facebook akan dapat melihat notis NUR Alerts semasa melayari News Feed Facebook mereka. Notis ini tidak akan terpapar kepada semua, sebaliknya hanya kepada pengguna Facebook di lokasi amaran dikeluarkan sahaja.

Bermakna, jika ada amaran kehilangan kanak-kanak di Petaling Jaya Seksyen 14, maka pengguna Facebook di situ akan dapat melihat notis dari NUR Alerts ini. Jadi, dalam setahun mungkin ada yang akan menerima sehingga 5 notis NUR Alerts, dan mungkin ada yang tidak menerimanya langsung.

pdrm-nur-alert-anggota-polis-bersama-petugas-facebook

Penyertaan Facebook ini dapat membantu meluaskan lagi capaian NUR Alerts. Selama ini, ramai pengguna Facebook sendiri, sering berkongsi berita tentang kehilangan kanak-kanak. Masalahnya, berita yang tidak benar sama banyak disebarkan dengan berita yang benar.

Berlaku kekeliruan apabila pengguna tidak memastikan kesahihan berita terlebih dahulu. Dengan NUR Alerts, semua amaran yang dikeluarkan adalah benar dan tulen kerana ia dikeluarkan oleh polis sendiri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato Sri Khalid Abu Bakar berkata, “Facebook merupakan alat yang begitu berpengaruh bagi komunikasi yang cepat dan diyakini. Kemampuannya untuk menyasarkan orang ramai di dalam kawasan carian, tentunya akan dapat membantu dalam kes-kes kanak-kanak yang hilang.”

pdrm-nur-alerts-emily-vacher-pengarah-kepercayaan-dan-keselamatan-facebookEmily Vacher, Pengarah, Kepercayaan dan Keselamatan Facebook

Emily Vacher, Pengarah, Kepercayaan dan Keselamatan Facebook berkata, “Matlamat kami ialah untuk membantu menyampaikan amaran ini dengan segera kepada mereka yang dapat membantu. 19 juta orang di Malaysia menyertai Facebook untuk berhubung dengan rakan dan keluarga mengenai perkara-perkara yang penting bagi mereka. Kami harap komuniti sebesar ini dan penglibatan mereka akan dapat membantu menyatukan kembali kanak-kanak berkenaan dengan keluarga mereka.”

Selepas ini, jika anda ternampak amaran NUR Alerts di Facebook, bolehlah kongsikannya kepada kenalan Facebook tanpa was-was. Kerana ia telah disahkan oleh PDRM.

pdrm-nur-alert-kini-di-facebook

Apa komen anda?