Huawei Pengeluar Telefon Android Paling Untung, Jauh Tinggalkan Samsung

Share Button

Dalam satu laporan yang dikeluarkan sebuah firma penganalisis pasaran, keuntungan sebelum cukai daripada penjualan telefon pintar seluruh global dianggarkan mencecah $9.4 billion setakat suku ketiga tahun ini. Daripada jumlah tersebut, Apple mencatatkan rekod apabila membolot $8.5 billion daripadanya atau 91%.

Selain Apple, tiga pengeluar telefon masing-masing berkongsi $0.2 billion bahagian iaitu Huawei, Vivo, dan OPPO. Pemain yang lebih senior seperti Samsung, Sony, HTC pula tidak lagi berkedudukan dalam kelompok atasan. Ia tidak memeranjatkan kerana jenama-jenama yang mendominasi carta bukan sahaja terkenal dengan peranti flagship, tetapi mereka juga turut menghasilkan telefon kelas pertengahan dan bawah yang berkualiti.

161128-smartphone-vendor-profit-share-2

Carta keuntungan sebelum cukai pengeluar telefon pintar setakat suku ketiga 2016

Contohnya, Huawei mempunyai telefon seperti siri P9 dan yang terbaru Mate 9 yang memang terkenal dengan kamera dwilensa hasil kerjasama mereka dengan Leica. Selain itu mereka juga mempunyai telefon subjenama iaitu Honor. Honor lebih menumpukan pada telefon kelas pertengahan dan bawah. Strategi ini mungkin telah menyumbang kepada pengukuhan Huawei dalam pasaran Android.

Berbeza pula dengan Samsung yang lebih terkenal dengan peranti flagship mereka seperti Galaxy S7 dan S7 edge. Tetapi pada segmen pertengahan, telefon mereka kurang mendapat perhatian dek kerana harganya yang kurang kompetitif berbanding telefon yang setara spesifikasi daripada pengeluar yang lain terutamanya daripada China. Hasilnya, pengguna kebanyakkan berpaling kepada jenama-jenama seperti Honor, Xiaomi, dan Vivo untuk mencari peranti kelas pertengahan.

Tambahan pula, ekosistem telefon pintar kini lebih dinamik daripada sebelumnya. Kini, telefon flagship kebanyakkannya hampir melepasi aras RM2,000 dan ada yang mencecah sehingga RM3,000. Tidak hairanlah pengeluar melihat terdapat peningkatan permintaan untuk telefon kelas pertengahan.

Dalam satu lagi laporan yang berkaitan, Samsung adalah pengeluar yang paling banyak menjual telefon diikuti dengan Apple. Pada suku ketiga tahun ini, Samsung menjual lebih 71 ribu unit telefon berbanding 43 ribu unit iPhone yang dijual oleh Apple. Walaupun jualan Apple menurun, mereka masih mencatatkan keuntungan yang amat besar. Ia mungkin menunjukkan kecekapan Apple untuk mengoptimumkan margin antara kos penghasilan telefon dan harga jualannya. Seperti biasa, telefon daripada China terus menunjukkan kebangkitan apabila mempamerkan polar peningkatan jualan daripada suku tahun ke suku tahun.

[sumber, 2]

Apa komen anda?