Ganti bateri percuma untuk iPhone 6s bermasalah

Share Button

Musim telefon pintar bermasalah nampaknya berterusan, kali ini dengan model yang agak lama, iPhone 6s. Apple mengakui terdapat masalah pada telefon berkenaan apabila banyak aduan dibuat kerana isu ia terpadam sendiri di luar jangkaan.

Menurut Apple dalam satu kenyataan rasmi di laman webnya, isu ini terkesan kepada kumpulan iPhone 6s yang dihasilkan dalam bulan September dan Oktober 2015. Tiada cara untuk memeriksanya dalam talian, melainkan anda perlu membawanya ke penyedia servis sah Apple untuk diperiksa.

Sebelum dibawa untuk diperiksa, anda disarankan untuk membuat salinan pendua sepenuhnya menggunakan iTunes atau iCloud, serta mematikan fungsi ‘Find my iPhone‘. Lebih digalakkan lagi, anda memadamkan data keseluruhannya atau ‘wipe clean‘ agar tiada maklumat peribadi boleh diakses.

tetapan-find-my-iphone

Jika peranti anda dikesan dalam kumpulan bermasalah, penggantian bateri secara percuma akan diberikan. Jika anda pernah menukar bateri sebelum ini, anda boleh memohon bayaran balik. Program penggantian ini sah selama 3 tahun dari tarikh jualan pertama iPhone 6s. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman web Apple.

Minggu lepas, Apple menawarkan diskaun untuk program pembaikan skrin di iPhone 6 Plus. Ini kerana beberapa pemilik iPhone 6 Plus melaporkan terdapat garisan kelabu berkelip di atas skrin, yang menjadikan skrin kurang responsif.

Apple memaklumkan, ia tidak bertanggungjawab sepenuhnya dalam masalah skrin ini, kerana ia berlaku selepas peranti tersebut terjatuh berulang kali di atas permukaan keras. Bagaimanapun, Apple menawarkan diskaun 50% untuk pembaikan dengan caj hanya USD149 (~RM658) berbanding harga asal USD300 (~RM1324). Kepada yang pernah membaiki dengan harga penuh, boleh memohon pemulangan bayaran perbezaan tersebut.

[SUMBER: Apple, SoyaCincau]

Apa komen anda?