Apa yang pengguna Malaysia paling minat dengan aplikasi mudah alih?

Share Button

Aplikasi merupakan penggerak utama kenaikan populariti telefon pintar dalam kehidupan seharian. Hampir semua perkara boleh dilakukan di telefon pintar, cari saja aplikasi yang mahu digunakan. Asia merupakan rantau paling sibuk dengan aplikasi mudah alih. Bagaimana pembangun mahu memastikan aplikasi mereka paling banyak digunakan orang ramai?

Google bekerjasama dengan syarikat penyelidikan TNS, membuat kaji selidik berkaitan aplikasi mudah alih kepada lebih 10,000 orang di 10 negara di Asia. Kaji selidik ini menumpukan kepada apa yang menarik minat mereka untuk memasang aplikasi dan kekal menggunakannya, sehingga membuangnya dari peranti. Sedikit sebanyak, laporan kajian ini dapat membantu pembangun perisian untuk meningkatkan kualiti aplikasi mereka agar sentiasa digunakan.

Apabila berkata tentang aplikasi mudah alih, satu lagi cara yang hampir sama adalah melalui laman web mudah alih. Terdapat penyedia aplikasi yang dapat menyediakan pengalaman hampir sama di laman web mudah alih, tetapi kebanyakannya menjadikan kedua-dua platform ini berbeza fungsi atau penggunaannya.

google-trend-carta-laman-web-berbanding-aplikasi

Di Malaysia, lebih ramai yang gemar menggunakan laman web berbanding aplikasi. Ia mungkin didorong oleh talian internet mudah alih yang baik. Ini berbeza dengan negara jiran Indonesia dan Filipina, yang lebih banyak bergantung kepada aplikasi berbanding laman web.

Bagaimana aplikasi baru boleh ditemui pengguna? Laporan kajian ini menyatakan negara seperti Malaysia, Vietnam, Jepun dan Thailand membuat carian umum terus di stor aplikasi (Google Play, Appstore) tetapi India, Filipina, Singapura, China, Korea dan Indonesia menemuinya menerusi cadangan dari rakan dan keluarga.

google-trend-bagaimana-berjumpa-aplikasi-baru

Penemuan aplikasi adalah penting untuk pembangun. Tetapi aplikasi perlu kekal relevan agar pengguna akan terus menyimpan aplikasi tersebut. Dalam hal ini, pembangun perlu memahami kenapa pengguna mahu membuang aplikasi dari peranti mereka.

Di dalam kajian ini, negara yang secara kasarnya mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi seperti Jepun, Korea, Singapura & Malaysia, penggunanya memilih untuk membuang aplikasi kerana ia tidak lagi digunakan atau tidak relevan. Ini berbeza dengan negara yang ramai penduduk seperti China, India dan Indonesia, mereka terpaksa membuang aplikasi kerana ruang storan yang tidak mencukupi.

google-trend-sebab-pengguna-membuang-aplikasi

Tidak dapat dinafikan, kesemua pengguna peranti pintar di dunia paling banyak memuat turun aplikasi jenis permainan. Di Malaysia, ia diikuti oleh aplikasi permesejan dan seterusnya aplikasi jaringan sosial.

Persoalan paling utama bagi pembangun aplikasi adalah, bagaimana mahu menjana wang dari aplikasi tersebut. Cara yang popular masakini adalah penjualan barangan di dalam aplikasi, lebih mudah lagi untuk permainan.

Di Malaysia, pengguna gemar berbelanja di dalam aplikasi untuk mendapatkan ekstra kredit. Ia diikuti dengan berbelanja untuk mendapatkan matawang maya serta mendapatkan lebih nyawa dalam permainan. Secara kasar, tiga aspek ini menjadi pilihan utama negara lain dalam kajian.

google-trend-permainan-aplikasi-paling-digemari-ramai

Laporan kajian Google dan TNS ini memberi banyak pandangan tentang bagaimana aplikasi mudah alih digunakan, serta cara untuk menjana keuntungan melaluinya. Ia adalah satu laporan yang penting bagi pembangun aplikasi untuk merancang bagaimana aplikasi mereka boleh dinikmati pengguna sambil menjana keuntungan.

Untuk membaca laporan penuh, layari laman laporan ‘How to Stay Top-of-Mind in Asia’s Crowded Apps Marketplace‘.

Apa komen anda?