[IFA2016] Dua ahli keluarga baru Xperia X lahir di Berlin

Share Button

Sony mengambil ruang yang agak besar di pameran IFA 2016 di Berlin, apabila melancarkan beberapa produk terbaru mereka. Di ataranya, pastilah telefon pintar Xperia. Dua model baru Xperia diperkenalkan di sini iaitu Xperia XZ dan Xperia X Compact.

Xperia XZ merupakan telefon pintar kelas utama, yang mengembalikan fungsi kalis air dan debu seperti siri-Z ke dalam siri-X. Kerana gandingan ini, ia dinamakan Xperia XZ. Manakala X Compact adalah telefon berskrin 4.6-inci, model lebih kecil yang sentiasa Sony lancarkan dalam siri Xperia sebelum ini.


Xperia XZ

Sony Xperia IFA 2016 - XZ Platinum

Model terbaru dalam keluarga siri-X ini merupakan telefon berkuasa tinggi. Ia memiliki skrin 5.2-inci HD Penuh dan kali ini mengembalikan kebolehan kalis air dan debu IP68, yang sebelum ini dimiliki siri-Z sahaja.

Kehebatan prestasi Xperia XZ dijana oleh CPU Snapdragon 820, yang memiliki pasangan 3GB RAM dan pilihan antara 32GB atau 64GB storan dalaman. Seperti biasa, peranti Sony sentiasa memiliki slot kad mikroSD, untuk tambahan memori sehingga 128GB.

Badan Xperia XZ mengekalkan rupa premium lebih menawan, dengan menggunakan besi ALKALEIDO bersama sisi lebih melengkung. Ini memberikan rasa yang lebih selesa di dalam tangan. Selain itu, Xperia XZ juga dipasang pengimbas capjari yang bergabung dengan butang kuasa di sisi, satu-satunya kelihatan hanya di peranti Xperia.

Peranti Xperia selama ini terkenal dengan ketahanan bateri yang panjang, tanpa memerlukan kapasiti besar. Xperia XZ dilengkapi bateri 2,900mAh yang boleh bertahan lebih lama dengan mod STAMINA.

Sony Xperia IFA 2016 - XZ UI Android

Sony kali ini menggunakan sistem pengecasan adaptif QNOVO. Ia bukan sahaja mengecas lebih pantas, tetapi memastikan bateri tidak mudah rosak dan boleh digunakan lebih lama. Pengecasan ini dibuat menggunakan USB-C yang boleh dicucuk dari mana-mana arah.

Selaku pengeluar sensor kamera mudahalih utama, Xperia XZ dilengkapi teknologi pengimejan terbaik Sony. Ia memiliki tiga teknologi pengesanan imej iaitu sensor imej untuk mengekalkan subjek dalam fokus, sensor autofokus lazer bagi mengukur jarak objek dan memastikan subjek sentiasa tajam dan akhir sekali sensor RGBC-IR yang mengatur keseimbangan warna untu menghasilkan gambar yang lebih hidup.

Sony Xperia IFA 2016 - XZ tiga warna ALKALEIDO

Imej kamera ini dirakam menerusi sensor Exmor RS 23MP di kamera belakang. Ia kini mempunyai 5-paksi penstabil imej untuk rakaman video sehingga 4K tanpa gegaran. Kamera depan pula menggunakan sensor Exmor RS 13MP f/2.0, dengan lensa lebar 22mm.

Sony belum mendedahkan harga jualan Xperia XZ, tetapi ia akan mula dijual bermula bulan Oktober akan datang. Tiga warna disediakan iaitu Biru, Platinum dan Hitam. Untuk lebih maklumat, layari laman produk Xperia XZ.


Xperia X Compact

Sony sering melancarkan siri kompak setiap kali model baru Xperia diperkenalkan. Tetapi pada pamera MWC lepas, ia kelihatan tertinggal dari senarai. Bagaimanapun, ia membuat kemunculan di pameran IFA kali ini dengan nama yang mudah, Xperia X Compact.

X Compact adalah siri kompak pertama dalam keluarga siri-X. Ia mengekalkan skrin berukuran 4.6-inci HD, bersama prestasi yang tidak kurang hebat dari abang yang lain. Badannya tidak menggunakan besi, tetapi mempunyai kemasan licin seakan seramik dalam pilihan warna Hitam, Putih dan Biru.

Ia dikuasakan pemproses Snapdragon 650, 3GB RAM, 32GB storan dalaman dan slot mikroSD untuk tambahan storan sehingga 256GB. Baterinya berkapasiti 2,700mAh, dilengkapi teknologi pengecasan QNOVO dan dicas melalui port USB-C.

Kameranya turut dilengkapi tiga teknologi pengesanan imej seperti Xperia XZ. Kamera belakang menggunakan sensor Exmor RS 23MP, manakala kamera depan 5MP f/2.0 juga menggunakan sensor Exmor RS.

Harga jualan masih belum disahkan, tetapi Xperia X Compact akan mula bertermu pengguna bermula bulan September ini. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Xperia X Compact.

Trackbacks

  1. […] hari ini melancarkan telefon pintar utama terbaru mereka, Xperia XZ dan X Compact. Pertama kali diperkenalkan di pameran IFA di Berlin, kini ia boleh dimiliki pengguna di […]

  2. […] telah memperkenalkan dua telefon pintar baru di pameran IFA 2016 di Berlin, Jerman bulan lepas. Telefon Xperia XZ dan X Compact yang […]

Apa komen anda?