Bagaimana Kereta Formula 1 Memintas Kereta Yang Lain?

Share Button

Ahad ini, litar Sepang akan dibingitkan dengan deruan enjin jentera Formula 1. Adakah Lewis Hamilton akan memintas Nico Rosberg untuk mengungguli carta pemandu? Bersempena dengan Grand Prix Malaysia 2016, kami ingin membangkitkan satu persoalan pada panda.

Begini ceritanya…

Lebih setengah abad perlumbaah Formula 1 berjalan. Ia menolak batas manusia dan mesin dan mengalami evolusi yang berterusan. Daripada musim ke musim perkara baru diperkenalkan semata-mata untuk merebut tempat di podium. Formula 1 dulu tidaklah sama seperti sekarang.

Enzo Ferrari pernah menyatakan bahawa aerodinamik hanyalah untuk orang yang tidak tahu membina enjin. Kenyataan itu mempamerkan suasana Formula 1 pada zaman dahulu yang tertumpu kepada kuasa sahaja. Lebih teruk, pada masa itu tiada tali pinggang keselamatan, dan mereka hanya memakai gogal dan helmet!

160928-ferrari-553-1954-formula-one

Ferrari 553 digunakan dalam perlumbaan Formula 1 tahun 1954 (sumber)

Formula 1 zaman moden ini, pemandu boleh berlumba pada kelajuan melebihi 300 km/h dan mengalami daya G sehingga empat kali ganda daripada biasa, tetapi dalam persekitaran yang selamat.

Dalam apa-apa sahaja perlumbaan, pintas memintas adalah perkara yang amat penting. Tetapi, perlumbaan menghasilkan jentera terpantas pada zaman ini amatlah sukar kerana pesaing masing-masing memiliki keupayaan yang hampir sama.

Jadi bagaimanakah pelumba memintas pesaingnya sedangkan semua peserta memiliki kereta dengan enjin yang hampir sama?

Formula 1 menjadi sangat kompetitif sehinggakan FIA perlu melanggar satu peraturan Formula 1 semata-mata untuk membolehkan pemandu Formula 1 beroleh ‘power-up‘ semasa berlumba dan ia dipanggil Drag Reduction System (DRS).

DRS adalah sistem yang digunakan pada kereta untuk mengurangkan rintangan angin bagi meningkatkan kelajuan. Dalam hal Formula 1, DRS adalah satu mekanisme yang terletak pada spoiler kereta yang boleh diaktifkan pada waktu-waktu tertentu.

160928-drs-aktif-dan-tak-aktif

Perbezaan kedudukan spoiler semasa DRS aktif (atas) dan tak aktif (bawah) (sumber)

DRS dalam Formula One diperkenalkan bermula 2011. Lebih menarik, ia melanggar peraturan asal peraturan Formula One dalam perkara penggunaan bahagian bergerak yang bertujuan untuk mengubah keaerodinamikan kereta lumba.

Penggunaan DRS meningkatkan kelajuan kereta antara 10 hingga 12 km/h. Walau bagaimanapun, pengurangan rintangan angin bermakna risiko kemalangan meningkat. Oleh sebab itu, badan pengelola Formula 1, FIA, menggariskan beberapa peraturan khas.

Sejak Musim 2015, peraturan penggunaan DRS adalah seperti berikut:

  • Kereta yang ingin memotong (kereta penyerang) perlu di belakang kereta yang ingin dipotong (kereta bertahan) dalam jarak 1 saat.
  • Kereta penyerang berada dalam zon pengaktifan DRS seperti yang ditetapkan oleh FIA.
  • Kereta bertahan tidak boleh mengaktifkan DRS untuk mengelak daripada dipotong kecuali ia juga memenuhi syarat-syart pengaktifan DRS.
  • DRS tidak boleh diaktifkan pada pusingan pertama dan kedua perlumbaan.
  • DRS tidak boleh diaktifkan dua pusingan selepas kereta keselamatan keluar daripada litar.
  • Pengarah perlumbaan berhak melarang penggunaan DRS jika dirasakan tidak sesuai, seperti yang terjada semasa Grand Prix Kanada 2011.

160928-drs-zone-sepang

Terdapat dua zon DRS di litar Sepang dan mereka dilorekkan dengan warna hijau (sumber)

Di luar zon pengaktifan DRS, pelumba boleh memotong sesuka hati tanpa bantuan DRS dan mereka perlu bergantung kepada kemahiran pemanduan mereka seperti mengeksploitasi arus gelincir (slipstream) kereta dihadapan bagi beroleh kelajuan tambahan yang digunakan untuk memotong.

Begitulah ceritanya…

[sumber, 2, 3, 4]

Apa komen anda?