ASUS VivoStick komputer mini yang muat dalam poket

Share Button

Percayakah anda komputer boleh menjadi sangat kecil sebesar pendrive? Ia telah menjadi kenyataan dan salah satu model yang sedia dibeli di Malaysia adalah, ASUS Vivostick.

VivoStick adalah komputer yang boleh dimuatkan ke dalam poket, dan berfungsi sepenuhnya semudah mencucuknya ke port HDMI di monitor atau TV. Saiznya sangat kecil, tidak lebih dari tapak tangan.

Kuasa VivoStick ini digerakkan oleh pemproses Intel Atom x5-Z8350 4-teras berkelajuan 1.92GHz, yang disertakan 2GB RAM dan 32GB storan dalaman. Bagaimanapun, tiada ruang kad mikroSD, tetapi masih boleh dicucuk storan tambahan menggunakan port USB.

Komputer mini VivoStick ini menggunakan port mikroUSB untuk tenaga. Ia memiliki satu port USB 3.0 dan USB 2.0 bersaiz penuh. Selain itu, terdapat juga satu lagi port audio 3.5mm untuk mencucuk mikrofon atau pembesar suara. Selain sambungan wayar, VivoStick turut boleh dihubungkan secara wayarles kerana ia dibina bersama sambungan WiFi 802.11ac dan Bluetooth 4.1.

ASUS VivoStick - sambungan dan sokongan

Sistem operasi Vivostick menjalankan Windows 10 64-bit. Pelbagai aplikasi Windows boleh terus dipasang ke dalamnya, tetapi jaga-jaga dengan ruang storan yang kecil. Untuk menggunakannya, cucuk sahaja VivoStick ke mana-mana paparan menerusi HDMI, sambungkan papankekunci dan tetikus melalui USB atau Bluetooth, dan tekan butang kuasa ON. Kabel tambahan dan pemegang sisi, membolehkan VivoStick diletakkan di mana-mana ruang yang bersesuaian.

Secara wayarles, VivoStick boleh bertindak sebagai paparan pendua dari telefon pintar, tablet mahupun laptop menerusi ASUS HyStream. Malah, pengguna boleh menjadikan peranti pintar mereka sebagai papan kekunci atau tetikus, menerusi aplikasi ASUS VivoRemote.

ASUS VivoStick - cucuk belakang monitor

Selain penggunaan di rumah, VivoStick juga sesuai digunakan sebagai alat multimedia mudah alih untuk perniagaan. Seperti kiosk di lapangan terbang, hotel, pusat membeli-belah dan pusat tarikan pelancong. Ia juga boleh digunakan sebagai mesin POS.

ASUS VivoStick ini telah mula dijual di Malaysia pada harga RM699 termasuk GST, bersama jaminan selama setahun. Untuk mendapatkan lebih maklumat, layari laman produk ASUS VivoStick.

Apa komen anda?