ZTE mahu lancar telefon Axon 7 di Malaysia

Share Button

Walaupun ZTE kelihatan kurang agresif di Malaysia, tetapi mereka masih aktif menghasilkan telefon pintar premium berprestasi tinggi. Terbaru, ZTE Malaysia akan melancarkan peranti utama terbaru mereka, ZTE Axon 7 di Malaysia tidak lama lagi.

ZTE Malaysia telah mengeluarkan jemputan kepada media, tentang majlis pelancaran ZTE Axon 7 ini. Pelancaran ini akan diadakan pada 1 September 2016, bertempat di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Pelancaran ini turut diadakan bersama jelajah ZTE, yang menyediakan ruang pengalaman kepada orang ramai, untuk mencuba sendiri peranti terbaru yang dihasilkan ZTE.

Sebagai peranti premium, ZTE Axon 7 memiliki rekaan badan besi penuh, dengan lengkung elegan di belakang. Rekaan telefon pintar ini mendapat sentuhan Designworks, sebuah syarikat rekaan di bawah Kumpulan BMW.

Salah satu keunikan ZTE Axon 7 adalah dua pembesar suara yang terletak di depan. Sukar untuk menemui peranti sebegini. Bukan ini sahaja, pembesar suara ini disertakan teknologi audio sekeliling Dolby ATMOS dan juga Dolby Digital untuk bunyi lebih mengancam.

ZTE Axon 7 - dua pembesar suara dolby atmos

Kamera ZTE Axon tidak lagi menggunakan dua lensa seperti di Axon Elite dahulu. Tetapi ia dipertingkat dengan sensor 20MP f/1.8, beserta penstabil imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS). Kamera depan pula menggunakan sensor 8MP.

ZTE Axon 7 diperkasa dengan kuasa tertinggi, menggunakan CPU Snapdragon 820 8-teras 2.15GHz, 4GB RAM dan 64GB storan dalaman. Ia boleh menerima dua kad sim 4G LTE, ataupun berkongsi slot kedua dengan kad mikroSD.

ZTE Axon 7 - depan atas rumput

Tenaga Axon 7 dijana dari bateri 3,250mAh, yang dicas melalui port USB-C. Ia menyokong pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 3.0. Sistem operasi Android 6.0.1 Marshmallow menjadi tunjang dengan antaramuka MiFavor UI 4.0 di atasnya.

ZTE Axon 7 telah dilancarkan di Amerika Syarikat, dan dijual pada harga USD399 (~RM1,605). Tahun lepas, Axon Elite dijual pada harga RM1,999. Kami jangkakan, Axon 7 yang baru ini akan dijual pada harga yang sama, iaitu RM1,999.

Apa komen anda?