[IFA2016] Laptop Acer Predator 21 X tampilkan skrin lengkung & Tobii

Share Button

Menambah kelazatan di majlis pelancaran Acer di IFA 2016 di Berlin, adalah pengenalan skrin lengkung di laptop pertama di dunia, iaitu Acer Predator 21 X. Selain itu, Acer turut mengumumkan laptop Predator 15 dan 17 yang menerima kemaskini GPU NVIDIA GTX10 yang sedia menjalankan realiti maya (VR).

Siri Predator dilihat berjaya memukau hadirin melalui model terbaru, Predator 21 X. Ia menampikan skrin lengkung di laptop pertama di dunia, pada ukuran 21-inci menggunakan paparan IPS dengan resolusi tinggi 2560×1080.

nextatacer IFA2016 - Predator 21 X depan buka atas meja

Bukan ini sahaja, Predator 21 X turut menampilkan teknologi pengesanan mata Tobii. Pertama kali kami melihat teknologi Tobii adalah di laptop MSI GT72, yang telah mula dijual di Malaysia pada bulan Mei lepas.

Dengan Tobii, pengguna boleh bermain permainan video melalui gerakan anak mata. Ia sedikit sebanyak membantu ketika membidik sasaran, mengenal pasti musuh dan menyorok, semudah menggerakkan anak mata.

nextatacer IFA2016 - Predator 21 X papankekunci mekanikal

Laptop ini turut menggunakan papankekunci mekanikal, pertama di dalam siri Predator. Ia menampilkan kunci Cherry MX yang terkenal, dengan lampu belakang RGB yang boleh diubahsuai. Kekunci Numpad padanya juga unik, kerana ia boleh ditukar menjadi touchpad.

Prestasi Predator 21 X pastinya berkuasa tinggi, kerana ia dijana oleh CPU Intel Core generasi ke-7 terbaru, bersama dua kad NVIDIA GeForce GTX1080 dalam mod SLI. Ia juga dilengkapi teknologi paparan NVIDIA G-SYNC, memastikan grafik permainan sentiasa tajam dan lancar. Kuasa yang tinggi ini disejukkan melalui lima kipas terbina di dalam.

nextatacer IFA2016 - Predator 21 X dolby audio

Di ruangan audio, Acer membekalkan teknologi SoundPound 4.2 di dalam Predator 21 X. Terdapat 4 pembesar suara bersama 2 subwoofer dibina di dalamnya. Kuasa bunyi ini diperkasa lagi dengan teknologi Dolby Audio untuk bunyi lebih mengasyikkan.

Belum ada harga diumumkan untuk laptop Predator 21 X ini, tetapi tempahan di Amerika Syarikat dijangka akan dibuka pada bulan Disember ini. Jika laptop MSI GT80 dengan papankekunci mekanikal dan dua GPU NVIDIA SLI pun dah berharga lebih RM16,000, tidak mustahil Predator 21 X ini boleh mencecah RM20,000.

 

Trackbacks

  1. […] pernah melaporkan laptop terhebat keluaran Acer semasa pameran IFA 2016 yang lepas, iaitu Predator 21 X. Ia boleh […]

Apa komen anda?