[IFA2016] Acer pamer tiga peranti baru Android

Share Button

Acer turut tidak melepaskan peluang melancarkan tablet dan telefon pintar baru di pameran IFA 2016. Tiga model baru diperkenalkan iaitu tablet Iconia Talk S, serta telefon pintar Liquid Z6 dan Liquid Z6 Plus.

Iconia Talk S

Menggabungkan fungsi tablet dengan skrin besar 7-inci, serta fungsi panggilan di telefon melahirkan Iconia Talk S. Paparan IPS padanya memiliki resolusi HD 1280×720 dan ia menyokong dua kad sim 4G LTE.

nextatacer IFA2016 - Iconia Talk S depan belakang

Kuasanya dijana pemproses MediaTek MT8735 4-teras, bersama 2GB RAM LPDDR3 dan storan 16GB atau 32GB. Slot kad mikroSD turut tersedia untuk tambahan sehingga 128GB memori.

Badannya direka dengan kemasan anti gelincir, untuk mengurangkan risiko terjatuh secara tidak sengaja. Baterinya dinyatakan boleh bertahan sehingga 9 jam penggunaan.

Kamera belakang Iconia Talk S menggunakan sensor 13MP dengan kebolehan merakam video HD Penuh. Kamera depannya pula 2MP dengan rakaman video HD.

nextatacer IFA2016 - Iconia Talk S melintang

Selain aplikasi Acer seperti EZ Snap, EZ WakeUp dan EZ Utilities, tablet ini turut dipasang siap dengan suit Microsoft Office dan servis Google.

Acer Iconia Talk S menjalankan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow, dan akan dijual di Eropah bermula September dengan harga EUR169 (~RM769).

Liquid Z6

Acer mereka telefon pintar Liquid Z6 khas buat mereka yang kekal produktif di jalanan. Dengan rekaan minimalis, Liquid Z6 dipasang skrin berukuran 5-inci beresolusi HD, bersama skrin lengkung 2.5D.

nextatacer IFA2016 - Liquid Z6 depan nextatacer IFA2016 - Liquid Z6 belakang

Pemproses 4-teras dipasang di dalamnya, beserta 1GB RAM dan 8GB storan. Kamera utamanya 8MP, manakala kamera depan 2MP.

Telefon pintar Acer Liquid Z6 ini menjalankan Android 6.0 Marshmallow, dan akan mula dijual di Eropah pada November akan datang, dengan harga jualan EUR119 (~RM541).

Liquid Z6 Plus

Tampil lebih besar dan bertenaga, Liquid Z6 Plus memberikan lebih prestasi dan keselamatan berbanding Liquid Z6. Skrinnya lebih besar, berukuran 5.5-inci dengan resolusi HD Penuh.

nextatacer IFA2016 - Liquid Z6 Plus depan nextatacer IFA2016 - Liquid Z6 Plus belakang

Ia memiliki badan besi premium, serta ditambah pengimbas capjari di depan. Prestasinya bergandanya hasil penggunaan CPU 8-teras, 3GB RAM serta storan 32GB yang lebih besar.

Kameranya pula dibekalkan sensor 13 MP di belakang, dan 5MP di depan. Baterinya juga agak besar, berkapasiti 4,080mAh untuk penggunaan lebih lama.

Telefon pintar Acer Liquid Z6 Plus ini menjalankan Android 6.0 Marshmallow, dan akan mula dijual di Eropah pada Disember akan datang, dengan harga jualan EUR249 (~RM1,133).

Apa komen anda?