Dwi-lensa honor 8 hampir tiba di Malaysia

Share Button

Facebook honor Malaysia baru-baru ini memperlihatkan sedikit bayangan tentang telefon pintar baru mereka. Tidak lain dan tidak bukan, telefon baru tersebut adalah honor 8, yang dilancarkan di China bulan lepas. Ini menandakan ia bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi.

Selaku syarikat yang berkaitan dengan Huawei, honor sering melancarkan telefon pintar utama mereka selepas Huawei melancarkan telefon siri-P mereka. Untuk Huawei P9 pula, telefon yang menyerupainya adalah honor 8. Paling ketara, sudah pasti dengan dua lensa kamera belakangnya.

honor 8 biru - dua lensa kamera belakang

Sebelum anda terlalu gembira, honor 8 tidak mendapat pengiktirafan Leica. Tetapi ia masih memiliki kamera yang hampir sama dengan Huawei P9. Dua lensa 12MP di kamera belakang, merakam gambar berwarna dan hitam putih, melalui lensa berbeza. Ia bergandingan dengan dwi-tona LED Flash serta autofokus hibrid menggunakan lazer, kontras dan pengesanan fasa.

Gabungan lensa warna dan monokrom ini dikatakan memberi warna yang lebih hidup di lensa warna, bersama gambar lebih cerah, jelas dan tajam melalui lensa monokrom. Bunyi macam sama dengan Huawei P9 kan?

honor 8 biru - dalam tangan depan

Kamera depan pula menggunakan sensor 8MP, dengan piksel besar bersaiz 1.4-mikron untuk selfie lebih cerah. Kalau tak cukup cerah, honor 8 turut memiliki LED Flash di depan untuk menjadikan selfie jauh lebih terang.

Rekaan badan honor 8 bagaimanapun berbeza dari Huawei P9. Berbanding besi sepenuhnya, honor 8 menggunakan kaca di belakang, seperti Galaxy S7. Tetapi warna yang digunakan kelihatan sangat menawan.

honor 8 biru - dalam tangan belakang 2

Skrin honor 8 sebesar 5.2-inci dengan resolusi HD Penuh. Ia diperkasa CPU HiSilicon Kirin 950 8-teras, bergabung dengan 4GB RAM LPDDR4. Storan pula bermula dari 32GB dengan pilihan menambah storan melalui mikroSD. Android 6.0 Marshmallow menjadi teras peranti ini, dengan antaramuka EMUI 4.1.

Satu lagi perkara baru di honor 8, adalah penggunaan sambungan USB-C. Ia adalah yang pertama di peranti honor, dengan kuasa pengecasan pantas. Baterinya yang sebesar 3,000mAh, dikatakan boleh dicas 47% penuh dalam masa 30 minit.

Telefon pintar honor 8 baru sahaja dilancarkan di Amerika Syarikat. Ia dijual pada harga USD399 (~RM1,600) untuk storan 32GB, dan USD449 (~RM1,805) bagi 64GB. Dengan keupayaan yang hampir sama dengan Huawei P9, berminatkah anda dengan honor 8 ini? Nantikan ketibaannya di Malaysia tidak lama lagi.

Apa komen anda?