SmartShopper Pupuk Sifat Hemah Dalam Berbelanja

Share Button

Pengguna bijak sangat peka dalam setiap perbelanjaan mereka. Banding beza adalah perkara rutin yang perlu diamalkan dalam proses membeli terutamanya dalam barangan keperluan harian. Tetapi, usaha membandingkan produk agak sukar dek ketiadaan satu data terhimpun untuk memudahkan inisiatif itu dijalankan. Oleh sebab itu, SmartShopper hadir membantu pengguna menyuburkan sifat berhemah dalam berbelanja. Yang menariknya, pembangun disebalik aplikasi ini adalah sebuah syarikat tempatan, Blue Tangents Sdn. Bhd.

SmarShopper mengumpulkan maklumat daripada pelbagai pasaraya dalam satu pengkalan data dan membentangkan dalam bentuk yang mudah difahami. Oleh hal yang demikian, sesiapa sahaja boleh menerapkan sifat berjimat cermat dalam berbelanja.

160726-SmartShopper Supermarket List

Pengkalan data SmartShopper memasukkan maklumat dari 34 kedai terkenal dan
11 katalog fizikal yang didigitalkan

Aplikasi mudah alih mereka menyajikan satu antara muka yang responsif dan kemas. Produk-produk diletakkan dalam kategori yang tertentu dengan bantuan gambar, cuma gambar yang mereka gunakan mungkin bersumberkan stock dan nampak tidak selaras. Walau bagaimanapun, daripada segi kelancaran, ia memang berfungsi dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Yang menarik pada SmartShopper adalah mereka akan mendapatkan katalog fizikal daripada pasaraya ini dan mendigitalkannya supaya boleh dirujuk oleh penggunanya. Sebanyak 11 katalog didigitalkan dan dikemas kini setiap kali ada katalog baharu diterbitkan oleh mana-mana pasaraya. Maklumat seperti harga terendah, purata 6 bulan, dan harga tertinggi dimasukkan dalam setiap produk-produk yang disenaraikan.

160726-SmartShopper Supermarket antaramuka

Produk diletakkan dalam kategori masing-masing dan maklumat harga seperti
purata, terendah, dan tertinggi disediakan untuk rujukan pengguna

Satu senarai khas boleh diwujudkan untuk tujuan perbandingan produk. Dalam senarai perbandingan, sistem akan menandakan pasaraya yang menawarkan pada harga yang terendah. Jika senarai yang diwujudkan mengandungi banyak produk, sistem juga akan menandakan pasaraya mana yang mempunyai produk dengan harga terendah paling banyak. Ia sangat berguna kerana kita boleh memaksimumkan penjimatan!

Harga barangan keperluan harian tidaklah tetap. Tentu sukar mengawasi harga barangan setiap masa melalui aplikasi ini. Pembangun telah memikir selangkah kehadapan, Smartshopper juga menyediakan Widget (Android sahaja) yang boleh diletakkan pada launcher dan pengguna boleh mengawasi harga barangan keperluan secara masa nyata.

160726-SmartShopper Supermarket perbandingan

Senarai beli-belah akan membandingkan harga di semua pasaraya untuk berikan harga paling rendah
kepada pengguna atau pengguna boleh gunakan widget untuk pantau harga barang

Selain aplikasi mudah alih, SmartShopper juga ada dalam bentuk laman web. Pautan berikut akan membawa anda kepadanya. Muat turun SmarShopper untuk Android  dan iOS  hari ini dan mula berbelanja dengan bijak.

Apa komen anda?